PETALING JAYA: SPX Express (SPX), rakan logistik dipercayai Shopee meraikan prestasi kecekapan e-dagang seluruh negara yang meningkat 30 peratus dengan pembukaan Pusat Pengagihan Bukit Raja baharu di Klang, Selangor sejak Januari 2024.
SPX telah mencapai penambahbaikan dalam waktu penghantaran bungkusan yang dihantar dari kawasan Lembah Klang ke luar Lembah Klang, dengan kira-kira 50 peratus pelanggan kini boleh menerima pesanan mereka dalam masa tidak melebihi tiga hari.
Ketua SPX Express Malaysia, Cheah Lee Sun berkata, Pusat Pengagihan Bukit Raja menunjukkan perkembangan penting dalam kebolehan perkhidmatan SPX Express dalam sektor e-dagang.
Ujarnya, pelaburan strategik itu membolehkan pihaknya meningkatkan tawaran nilai buat vendor e-dagang, terutamanya mereka yang beroperasi di luar kawasan Lembah Klang.
“Dengan sistem gudang dan pengurusan pengagihan terbaik, kami telah menyaksikan penambahbaikan berkali ganda dalam efisiensi pengendalian.
“Melihat ke depan, kami komited untuk melakukan penambahbaikan berterusan dan merancang untuk mengintegrasikan teknologi canggih di pusat-pusat operasi kami sepanjang tahun, agar kami boleh mencapai kapasiti operasi 1.5 juta bungkusan pada akhir tahun,” katanya dalam kenyataan.
SPX berazam untuk berterusan meningkatkan kapasiti dan kawasan penghantaran, menambahbaik pengalaman menyeluruh pengguna dan mengurangkan kos untuk memberikan perkhidmatan yang lebih baik buat rakyat Malaysia.
Rangkaian meluas SPX yang merangkumi lebih 140 hab dan gudang dan lebih 1,200 pusat perkhidmatan yang menyokong penghantaran barangan daripada penjual dan kutipan barangan oleh pembeli dari seluruh Malaysia meletakkan SPX sebagai peneraju logistik e-dagang efisien.
SPX merancang untuk mengembangkan pusat yang menawarkan khidmat kutipan barangan oleh pembeli kepada 700 dalam masa enam bulan, membolehkan pembeli dalam talian untuk mengambil pesanan mereka di lokasi yang bersesuaian dengan rutin harian mereka.
Tahun ini, kerjasama rapat SPX dengan Fulfilled by Shopee akan meningkatkan pengalaman penghantaran e-dagang untuk memberi khidmat lebih baik kepada pengguna.
Gudang Pemenuhan Bukit Raja secara strategik menyimpan purata tiga juta stok produk sedia ada daripada anggaran 5.5 juta jumlah kapasiti stok.
Ini bermaksud pilihan meluas buat pengguna dan pemprosesan lebih pantas, dengan sasaran 95 peratus pesanan e-dagang dihantar pada hari sama buat pesanan yang dilakukan sebelum pukul 2 petang. – UTUSAN










