RTS Link tingkatkan permintaan hartanah di Johor Bahru - Utusan Malaysia

RTS Link tingkatkan permintaan hartanah di Johor Bahru

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pembinaan Projek Rapid Transit System Link (RTS Link) yang dijangka siap menjelang akhir 2026 mencergaskan kembali pasaran hartanah di Johor Bahru.

Pengurus Negara PropertyGuru Malaysia, Sheldon Fernandez berkata, Johor sedang mengalami satu transformasi yang ketara, dari negeri yang mempunyai jumlah kediaman siap dibina tidak terjual tertinggi kepada kedudukan yang lebih baik.

“Penambahbaikan ini berikutan pelbagai inisiatif yang dijalankan oleh pihak negeri, termasuk pembangunan RTS Link, penetapan Forest City sebagai Zon Kewangan Khas (SFZ), Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (SEZ) dan potensi pemulihan kereta api berkelajuan tinggi (HSR).

“Usaha-usaha ini telah meningkatkan permintaan dan nilai hartanah di Johor,” katanya.

Beliau berkata, berikutan pengumuman fasa endemik pada April 2022, iProperty Malaysia menyaksikan lonjakan sebanyak 29 peratus bagi indeks permintaan hartanah Johor Bahru.

Ujarnya, semasa projek RTS mencapai tahap selesai 50 peratus pada April 2023, indeks permintaan hartanah Johor Bahru meningkat sebanyak 17 peratus.

“Trend permintaan ini selaras dengan Laporan Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC) 2023, yang mencatatkan penurunan sebanyak 20 peratus untuk unit hartanah siap dibina tidak terjual di Johor daripada 5,258 pada 2022 kepada 4,228 unit pada 2023.

“Kami mendapati peningkatan harga permintaan median tahun ke tahun sebanyak 20 peratus untuk kediaman berservis di Johor Bahru,” ujarnya.

Jelas beliau, unit yang lebih kecil khususnya mencatatkan pertumbuhan harga yang teguh dengan kategori 501 hingga 750 kaki persegi mencatatkan 27 peratus, 751 hingga 1,000 kaki persegi (18 peratus dan 1,001 hingga 1,250 kaki persegi (15 peratus).

“Ini mungkin menunjukkan bahawa kelebihan ketersambungan yang lancar adalah lebih diutamakan daripada ruang kediaman lebih besar kerana kos kemasukan rendah dan kedekatan dengan mod pengangkutan utama,” ujarnya.

Sheldon berkata, prospek Johor kelihatan memberangsangkan berdasarkan data yang diperoleh.

“Dengan pembangunan projek-projek besar, seperti RTS dan inisiatif lain yang menempatkan Johor sebagai hab aktiviti ekonomi yang sedang pesat membangun, kami percaya pelabur hartanah boleh memantau dengan rapat atau menyelidik lebih mendalam peluang yang ditawarkan di Johor.

“Pembangunan yang berterusan dan pertumbuhan ekonomi berpotensi membawa kepada prospek pelaburan menarik ke sektor hartanah,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN