Ringgit terus mengukuh berbanding dolar AS

Ringgit terus mengukuh berbanding dolar AS

RINGGIT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ringgit meneruskan momentum positif untuk dibuka tinggi berbanding dolar AS pagi ini dan bertambah baik berbanding sekumpulan mata wang utama lain dan ASEAN, disokong oleh kenyataan Bank Negara Malaysia (BNM) mengenai penilaian nota tempatan itu.

Pada pukul 9 pagi, ringgit naik kepada 4.7370/7410 berbanding dolar AS berbanding 4.7400/7455 pada penutup semalam, memetik laporan Bernama.

Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd., Dr. Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, BNM secara jelas menyatakan bahawa ringgit adalah terkurangan nilai (undervalued).

“Saya jangka ringgit akan terus meningkat hari ini kerana mata wang tempatan itu telah terlebih jual untuk tempoh yang agak lama,” katanya.

Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Abdul Rasheed Ghaffour sebelum ini berkata, ringgit pada masa ini terkurang nilai (undervalued).

“Memandangkan asas dan prospek ekonomi Malaysia adalah positif, ringgit sewajarnya didagangkan pada tahap yang lebih tinggi,” katanya.

Sementara itu, pedagang di ActivTrades Dyogenes, Rodrigues Diniz berkata, pergerakan menurun dolar AS berlaku selepas pengeluaran data tuntutan pengangguran awal, yang lebih tinggi daripada jangkaan.

Tuntutan pengangguran AS meningkat kepada 215,000 berbanding ramalan konsensus 209,000, langkah yang cenderung negatif untuk dolar, katanya.

“Satu lagi penunjuk yang memihak kepada ringgit berbanding dolar AS ialah indeks pengurus pembelian (PMI) AS Chicago pada Februari, yang turun lebih rendah daripada jangkaan pada 44 berbanding ramalan 48.1; yang memberi kesan negatif kepada dolar,” kata Diniz.

Dalam pada itu, ringgit didagangkan lebih tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ringgit meningkat berbanding pound British kepada 5.9809/9860 daripada 6.0042/0111, mengukuh berbanding euro kepada 5.1212/1255 daripada 5.1434/1493, dan meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.1532/15862 daripada 3.1532/1562 daripada 3.1642/1681.

Ringgit juga menunjukkan prestasi yang lebih baik berbanding mata wang ASEAN.

Ia meningkat berbanding baht Thailand kepada 13.1965/2146 daripada penutup semalam pada 13.2140/2345, naik berbanding dolar Singapura pada 3.5198/5231 berbanding 3.5257/5301 dan meningkat berbanding rupiah Indonesia kepada 301.3/301.7 daripada 301.5/302.0 sebelumnya.

Ringgit didagangkan tidak berubah berbanding peso Filipina pada 8.43/8.45 daripada 8.43/8.44. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×