Rangsangan domestik kukuhkan ringgit kepada RM4.68

Rangsangan domestik kukuhkan ringgit kepada RM4.68 pada Jumaat

ringgit
GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Mata wang negara terus mengukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) apabila ditutup lebih tinggi semalam, mendapat rangsangan daripada petunjuk positif domestik dan disokong oleh keadaan luar yang bertambah baik.

Pada pukul 5 petang semalam, ringgit ditutup lebih kukuh pada 4.6880/4.6910 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) daripada 4.6960/4.7010 pada Khamis.

Penganalisis Ekonomi Pusat Pendidikan Kewangan Islam Antarabangsa (INCEIF), Profesor Dr Baharom Abdul Hamid berkata, pengukuhan ini didorong oleh bayangan yang diberikan oleh Rizab Persekutuan (Fed) AS yang akan menurunkan kadar faedah tidak lama lagi.

Katanya, perkembangan tersebut mendorong pengukuhan ringgit ke paras tertinggi dalam tempoh tujuh minggu.

“Bayangan yang diberikan Fed AS itu juga membolehkan Bank Negara Malaysia (BNM) tidak menaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) bagi mengekang kejatuhan ringgit. 

“Keputusan untuk mengekalkan OPR juga disebabkan aspek pertumbuhan ekonomi yang semakin baik, sekali gus mengekalkan kadar inflasi rendah, walaupun sebelum ini nilai ringgit didapati semakin menyusut,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Matawang tempatan itu sebelum ini susut ke paras terendah iaitu RM4.8 beberapa minggu lalu, tahap yang kali terakhir dilihat ketika krisis ekonomi Asia Pasifik pada 1997/98. 

Kejatuhan ringgit itu menimbulkan kebimbangan akan mencetuskan kenaikan inflasi berikutan Malaysia adalah mengimport lebih RM60 bilion keperluan makanan untuk 33.4 juta rakyatnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×