PETALING JAYA: Prestasi ringgit dijangka konsisten iaitu pada RM4.71 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) minggu ini, ekoran keputusan Rizab Persekutuan (Fed) AS mengekalkan kadar faedah negara itu.
Pengarah Program MBA, Putra Business School (PBS), Prof. Dr. Ahmed Razman Abdul Latif berkata, trend ringgit diyakini mengukuh dalam jangka masa pendek minggu ini sehingga akhir bulan April.
Menurutnya, ramalan terhadap keputusan Fed menurunkan kadar faedahnya pada suku kedua tahun ini, bakal menyumbang kepada peningkatan ringgit.
“Apabila kadar faedah diturunkan dari 5.5 peratus kepada kadar yang lebih rendah, ini akan mengurangkan permintaan terhadap dolar AS sekali gus memboleh ringgit untuk mengukuh.
“Pengumuman kadar faedah Fed dijangka pada suku kedua tahun ini pada Mei atau Jun nanti, didapati apabila bank pusat itu merujuk dahulu prestasi pasaran jika lebih positif,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Ujar beliau, Fed dijangka tidak akan menaikkan kadar faedah berikutan kali terakhir bank pusat itu menaikkan kadar faedah iaitu pada 26 Julai tahun lepas, dengan peningkatan sebanyak 25 mata asas yang didorong keadaan pasaran pada ketika itu.
Jelasnya, faktor peningkatan terhadap ringgit turut dipengaruhi oleh penyebab pengeluaran yang berlaku di Amerika Syarikat dan rakan dagang besar dari negara-negara lain dengan Malaysia.
Dalam masa sama, beliau menyarankan Bank Negara Malaysia (BNM) memastikan mempelbagaikan pasaran negara dengan tidak hanya menumpukan kepada rakan dagang yang sedia ada dan memperkasakan ekonomi domestik.
Sementara itu, Felo Penyelidik Institut Dasar Ekonomi dan Kewangan, Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan, Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Shazida Jan Mohd. Khan berkata, kemungkinan ringgit meningkat bawah 4.60 berbanding dolar AS.
“Tetapi keadaan ini masih tidak mengubah keadaan semasa di mana ringgit masih dilihat lemah.
“Walaupun beberapa pendapat mengatakan akan ada perubahan, malangnya dengan keadaan ekonomi global yang masih dalam suasana yang sama mungkin akan terus mengekalkan ringgit,” katanya.
Justeru, beliau berkata, keadaan ekonomi negara pada waktu kini memerlukan kemasukan kemasukan pelaburan asing hasil daripada beberapa negara termasuk China.
“Dalam masa yang sama jika pelaburan domestok diperhebatkan, keadaan itu akan membantu memajukan ekonomi secara berterusan dan boleh menyokong sektor bernilai tinggi dan berimpak tinggi,” ujarnya.
Dalam pada itu, Ketua Ekonomi Bank Muamalat, Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid bersetuju ringgit dijangka akan didagangkan dalam mod yang berhati-hati.
“Meskipun pihak Fed dilihat komited untuk menurunkan kadar faedah pada tahun ini, kebimbangan mereka terhadap kadar inflasi yang masih lagi berlegar di atas paras sasaran 2.0 peratus akan melengahkan keputusan pengurangan kadar faedah yang kini berada di paras 5.5 peratus,” katanya.
Jelasnya, pada minggu ini, data yang akan dipantau adalah kadar inflasi di AS bagi bulan Februari.
Mengulas lanjut mengenai jangkaan prestasi FBM KLCI minggu ini, diramalkan akan didagangkan dalam trend yang sempit iaitu sekitar 1,540 hingga 1,545.-UTUSAN










