Rasionalisasi subsidi tidak perlu campur tangan dasar monetari - Utusan Malaysia

Rasionalisasi subsidi tidak perlu campur tangan dasar monetari

GABENOR BNM, Datuk Abdul Rasheed Ghaffour (dua dari kanan) bersama timbalannya, (dari kiri) Adnan Zaylani Mohamad Zahid, Datuk Jessica Chew Cheng Lian dan Datuk Marzunisham Omar bergambar selepas Pembentangan dan sidang media Laporan Tahunan 2023 Bank Negara Malaysia (BNM) di Sasana Kijang di sini semalam. - UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Langkah-langkah penstrukturan seperti rasionalisasi dalam subsidi adalah bersifat sementara dan tidak memerlukan campur tangan dasar monetari, kata Bank Negara Malaysia (BNM).

Gabenor, Datuk Abdul Rasheed Ghaffour berkata, dasar monetari adalah ‘blunt tool’ yang mengatasi komponen permintaan ekonomi.

“Bagaimanapun, BNM akan terus berwaspada dan memerhatikan data sekiranya terdapat pendorong kepada inflasi atau tekanan permintaan.

“Hanya situasi seperti itu yang memerlukan campur tangan dasar monetari,” katanya pada taklimat media Laporan Ekonomi Tahun 2023, di Sasana Kijang, di sini, semalam.

Beliau berkata, BNM menjangkakan inflasi keseluruhan tahun ini kekal sederhana, dalam julat purata antara dua dan 3.5 peratus, berbanding 2.5 peratus pada 2023, dengan mengambil kira potensi kenaikan disebabkan oleh rasionalisasi subsidi terutamanya petrol.

“Kesan langsung terhadap inflasi keseluruhan dijangka hanya dalam tempoh pendek. BNM akan terus memantau data daripada perkara ini selepas pelaksanaan rasionalisasi subsidi bahan api.

“Risiko terhadap inflasi kekal condong ke arah atas, disebabkan oleh potensi harga lebih tinggi disebabkan kajian semula subsidi bahan api, selain kos input lebih tinggi berpunca daripada perkembangan kadar tukaran asing.

“Selain itu, keadaan ini turut disokong kemungkinan harga komoditi global lebih tinggi berpunca daripada ketegangan geopolitik yang semakin meningkat, serta gangguan cuaca,” ujarnya.

Mengulas mengenai kadar hutang isi rumah berjumlah RM1.53 trilion, katanya, BNM perlu memerhati perkara itu lebih rapat.

Jelas beliau, bank pusat sentiasa berbincang dengan peminjam dan memastikan mereka faham risiko yang diterima untuk masa hadapan.

“BNM akan mempertingkat literasi kewangan agar peminjam mengetahui cara menilai dari kemampuan sebenar untuk membuat peminjaman.

“Walaupun kita sudah tiada lagi bantuan secara besar (rasionalisasi subsidi), namun hutang tidak berbayar (NPL) kita masih lagi rendah iaitu tidak lebih daripada enam peratus.

“Jadi tidak begitu banyak kebimbangan daripada kestabilan, tetapi kami kekal berwaspada dan terus memantau perkara ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×