KUALA LUMPUR: Inflasi yang sederhana dan pertumbuhan ekonomi yang lebih baik pada tahun ini menyediakan landskap yang sesuai untuk pelaksanaan beberapa dasar utama seperti yang diumumkan oleh kerajaan.
Bank Negara Malaysia (BNM) menerusi laporan Tinjauan Ekonomi dan Monetari 2023 berkata, pelaksanaan dasar itu termasuk usaha kerajaan untuk memperluas dan mempelbagaikan asas hasil, rasionalisasi subsidi dan dasar dalam negeri lain seperti dasar gaji progresif.
“Memandangkan tahap potensi perubahan yang akan dilaksanakan serta sebarang langkah mitigasi yang berkaitan, Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) akan terus menilai cara faktor-faktor ini akan memberikan kesan pada dinamik inflasi dan keadaan permintaan,” menurut laporan itu.
Bank pusat berkata, dasar monetari akan kekal kondusif untuk pertumbuhan ekonomi yang mampan serta memastikan persekitaran kestabilan harga.
“Setelah kembali ke paras sebelum pandemik pada 2023, dasar monetari pada tahun ini akan memberikan tumpuan pada mengekalkan pendirian dasar monetari yang kondusif untuk pertumbuhan yang mampan serta pada masa yang sama menguruskan risiko berhubung dengan inflasi,” ujarnya.
Melangkaui dasar dalam negeri, BNM menjelaskan, MPC juga prihatin terhadap risiko prospek kenaikan inflasi, termasuk harga komoditi global dan perkembangan pasaran kewangan.
Meskipun pertumbuhan dijangka meningkat pada tahun ini, prospek pertumbuhan kekal bergantung pada risiko pertumbuhan menjadi perlahan.
“Prospek ini termasuk permintaan luaran yang lebih lemah daripada jangkaan dan penurunan pengeluaran komoditi yang lebih besar.
“Namun begitu, risiko pertumbuhan menjadi lebih tinggi juga boleh berlaku, yang didorong limpahan positif peningkatan kitaran teknologi, aktiviti pelancongan yang lebih giat daripada
jangkaan dan pelaksanaan projek sedia ada dan baharu yang lebih pantas.
“MPC menyasarkan untuk memastikan pendirian dasar monetari yang menyokong ekonomi dan konsisten dengan penilaian semasa prospek inflasi dan pertumbuhan, didorong potensi perubahan dasar dalam negeri dan persekitaran luaran yang mencabar,” ujarnya.
Justeru, tegas bank pusat, berikutan tahap ketidakpastian ini, MPC kekal berwaspada terhadap perkembangan yang sedang berlaku dan implikasinya terhadap keseimbangan risiko berhubung dengan inflasi dan pertumbuhan dalam negeri. – UTUSAN










