PETALING JAYA: Peningkatan berterusan dalam jumlah aliran trafik bakal menjadi pemacu utama kepada perkembangan pendapatan Prolintas Infra Business Trust (Prolintas Infra BT) pada tahun-tahun akan datang, menurut Affin Hwang Investment Bank.
Bank pelaburan itu berkata, jangkaan itu adalah berdasarkan andaian kasar pertumbuhan volum trafik tahunan sekitar 3.4 peratus dalam tempoh 10 tahun akan datang.
“Pertumbuhan ekonomi, pekerjaan dan penduduk akan menjadi pemacu utama peningkatan trafik kerana kami menjangkakan ketiga-tiga petunjuk ini akan merangsang permintaan perjalanan di Lembah Klang.
“Selain itu, pembangunan perbandaran baharu di sekitar pusat bandar raya juga dijangka menjadi satu lagi tonggak pertumbuhan, memandangkan lebuh raya Prolintas berada pada kedudukan strategik untuk menarik trafik baharu dari bandar,” katanya dalam nota penyelidikan.
Firma itu memulakan liputan di Prolintas dengan penarafan beli dan harga sasaran (TP)RM1.22.
Potensi peningkatan adalah pengambilalihan yang memberangsangkan pada masa akan datang kerana Prolintas mempunyai hak penolakan pertama untuk membeli dua konsesi lebuh
raya bertol.
Ia terdiri daripada Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang dan lebuh raya Damansara-Shah ALam, yang dipegang oleh pemegang saham utamanya Projek Lintasan Kota Holdings Sdn. Bhd.
“Kami menggunakan diskaun 10 peratus untuk mendapatkan harga sasaran selepas mengambil kira risiko ramalan jumlah trafik dan risiko dasar kerajaan.
“Berdasarkan TP kami, kami menjangkakan pemampatan hasil kepada 5.2 hingga 5.5 peratus pada 2024-26E, yang kami percaya adalah adil, berdasarkan kualiti aset Prolintas dan prospek pertumbuhan jangka panjang yang mampan,” katanya.
Kelmarin, Prolintas Infra BT menjadi Amanah Perniagaan pertama yang disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Berhad (Bursa Malaysia) dengan jumlah unit terbitan sebanyak 1.1 bilion dan harga tawaran awam awal (IPO) bernilai 95 sen seunit.
Stok di bawah nama Plintas dan kod stok 5320 itu disenaraikan dengan modal pasaran bernilai kira-kira RM1.05 bilion.
Prolintas menguruskan empat konsesi lebuh raya iaitu Lebuh Raya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH) dijangka tamat pada 2037, manakala konsesi Sistem Lingkaran Lebuh Raya Kajang (SILK), Lebuh Raya Koridor Guthrie (GCE) dan Lebuh Raya Kemuning-Shah Alam (LKSA) dijangka berakhir pada 2062, dengan purata baki tempoh konsesi selama 32 tahun.
Syarikat memilih untuk menyuntik aset ke dalam amanah perniagaan dan bukannya penyenaraian tradisional kerana pengagihan amanah tidak terjejas oleh item bukan tunai seperti pelunasan, yang mengurangkan keuntungan perakaunan. – UTUSAN










