PETALING JAYA: Lembaga Pemantauan Audit (AOB) Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) mencela Nexia SSY PLT (AF 2009) (Nexia) dan dua rakan kongsi auditnya atas dakwaan melanggar piawaian pengauditan.
SC dalam kenyataannya berkata, dua juruaudit berkenaan adalah Michelle Yong Voon Sze dan K. Jayapalasingam.
Katanya, sebagai rakan kongsi tugasan yang bertanggungjawab ke atas audit entiti berkepentingan awam (PIE), Michelle telah gagal melaksanakan prosedur audit dan mendapatkan bukti audit yang mencukupi untuk menyokong asas bagi pendapat bersyarat dalam laporan juruaudit.
Menurutnya, pelanggaran ini merupakan ketidakpatuhan terhadap Piawaian Antarabangsa tentang Pengauditan (ISA) yang berkaitan seperti yang diterima pakai oleh Institut Akauntan Malaysia (MIA).
“Syarat-syarat adalah yang berkaitan dengan perjanjian tertentu yang dimeterai oleh PIE.
“Michelle gagal menilai sama ada kesan perjanjian ini adalah pervasif atau sebaliknya dalam penyata kewangan PIE dan menilai kesahihan dan kebolehkuatkuasaannya,” katanya.
Dalam pada itu, SC berkata, selaku penyemak kawalan kualiti tugasan, Jayapalasingam gagal menyemak dengan secukupnya dokumentasi audit terpilih yang berkaitan dengan pertimbangan penting dan bidang risiko penting dalam tugasan dan asas kesimpulan
yang dicapai, terutama asas untuk pendapat bersyarat tersebut.
Berkenaan dengan Nexia, suruhanjaya berkata, firma audit telah dicela kerana kualiti prestasi tugasan dan ketidakpatuhan terhadap keperluan berkaitan Piawaian Antarabangsa tentang Kawalan Kualiti 1 (ISQC 1) seperti yang diterima pakai oleh MIA, khususnya mengenai pengumpulan fail dan dokumentasi audit.-UTUSAN










