PETALING JAYA: Malaysia Aviation Group Bhd. (MAG) sentiasa terbuka untuk pelbagai strategi termasuk rakan kerjasama, pengaturan perniagaan bersama mahupun ekuiti bagi mengukuhkan lagi syarikat penerbangan tersebut, kata Pengarah Urusan Khazanah, Datuk Amierul Feisal Wan Zahir.
Menurut beliau, MAG mencatatkan keuntungan bersih selepas cukai (NIAT) positif untuk pertama kalinya dalam tempoh setahun penuh 2023, didorong oleh permintaan yang kukuh berikutan pemulihan perjalanan antarabangsa dan domestik.
Ujarnya, syarikat tersebut yang sudah tidak mendapatkan suntikan dana, kesan daripada pengurusan kos yang berkesan dan pengoptimuman aliran tunai.
“Fokus syarikat pada masa ini adalah untuk membina satu produk yang boleh dibanggakan melalui penambahbaikan menerusi kejuruteraan dan juga operasi. Perkara lain adalah aset itu sendiri. Kami tahu pesawat yang ada sudah lama dan dalam proses untuk penggantian. Ia akan mengambil masa kerana rantaian bekalan rantaian bekalan global.
“Terdapat peluang untuk kami melihat bagaimana syarikat boleh mengukuhkan beberapa penerbangan laluan jarak jauh. Kami sangat kukuh di peringkat serantau, tetapi dari segi jarak jauh agak lemah.
“Sekarang, bagaimana kita melakukan ini, terdapat banyak cara untuk membina perkongsian, pengaturan perniagaan bersama, melihat kerusi dalam syarikat penerbang dan mungkin juga beberapa ekuiti,” katanya pada taklimat media Tinjauan Tahunan Khazanah (KAR) 2024 di Mercu UEM di sini, hari ini.
Ketika diminta mengulas mengenai saranan kerajaan untuk syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) menggalakkan aliran masuk yang berterusan ke dalam pasaran pertukaran asing bagi membantu pengukuhan ringgit, Amirul Feisal berkata, Khazanah sentiasa melakukan pelaburan yang memajukan Malaysia.
Menurutnya, Khazanah juga telah komited memperuntukkan RM6 bilion kepada Dana Impak, yang disasarkan untuk mencergaskan ekosistem, bekerjasama dengan pihak berkepentingan, dan mempengaruhi dasar untuk pertumbuhan.
“Kebanyakan pelaburan antarabangsa kami dibiayai sendiri. Oleh itu, ia sebenarnya tidak menyebabkan aliran keluar wang dari negara,” ujarnya.
Tambahnya, terdapat banyak potensi dalam peralihan tenaga dan tumpuan harus dibuat adalah untuk melihat pelaburan langsung domestik (DDI).
“Cuba melihat untuk menangkap potensi pertumbuhan yang sama pada masa hadapan. Sekarang, itulah yang kami lakukan dan saya rasa ia juga sejajar dengan komen kerajaan” ujarnya. – UTUSAN










