MAG sasar 10 teratas syarikat penerbangan terbaik dunia

MAG sasar 10 teratas syarikat penerbangan terbaik dunia menjelang 2030 

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Malaysia Aviation Group (MAG) menyasarkan untuk meletakkan Malaysia Airline Berhad (MAB) pada kedudukan ke-10 teratas dalam senarai syarikat penerbangan terbaik dunia, Skytrax menjelang tahun 2030, berbanding kedudukan ke-47 tahun lalu.

Pengarah Urusan Kumpulan MAG, Datuk Izham Ismail berkata, pihaknya turut menyasarkan kedudukan kelima teratas di Asia Pasifik menjelang tahun yang sama, seterusnya merapatkan jurang antara syarikat penerbangan itu dengan rakan pesaingnya yang lain.

Jelas beliau, bagi 2025, pihaknya menetapkan sasaran untuk diiktiraf sebagai syarikat penerbangan paling bertambah baik, selain kru kabin syarikat penerbangan terbaik dunia, sebelum mencapai katering terbaik dunia bagi kelas perniagaan pada 2027.

“Pencapaian tahun lalu, dengan merekodkan untung bersih selepas faedah dan cukai buat pertama kali merupakan bahagian penting dalam perjalanan transformasi kumpulan yang berterusan.

“Memandang ke hadapan, kami bersedia untuk memanfaatkan momentum yang dihasilkan pada 2023 dan meneruskan perjalanan ke arah pertumbuhan yang mampan. 

“Fokus kami kekal dalam memacu inovasi, meningkatkan kecekapan operasi dan memberikan pengalaman terunggul kepada pelanggan,” katanya kepada pemberita dalam taklimat prestasi kewangan MAG di sini, semalam.

Pada 2023, MAG menerima lebih daripada 10 anugerah global dan industri yang mengiktiraf kecemerlangannya dalam amalan perniagaan dan kesetiaan jenama.

Ini termasuk Anugerah Pasukan Kewangan Terbaik daripada Anugerah Kecemerlangan CFO Masa Depan dan Anugerah Gangsa untuk PR Terbaik oleh Pasukan Komunikasi Dalaman daripada Anugerah PR Marketing Interactive.

Syarikat turut menerima Anugerah Emas bagi Program Keahlian Terbaik untuk Enrich daripada Anugerah Kesetiaan dan Penglibatan 2023.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN