IPO bahagian awam Prolintas Infra BT terlebih langgan 3.59 kali - Utusan Malaysia

IPO bahagian awam Prolintas Infra BT terlebih langgan 3.59 kali

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Prolintas Infra Business Trust (Prolintas Infra BT) menerima lebihan langganan 3.59 kali bagi tawaran awam permulaan (IPO) untuk bahagian awamnya yang akan disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Berhad (Bursa Malaysia) pada 25 Mac ini.

Prolintas Infra BT menerima 7,211 permohonan untuk 126.17 juta unit dengan nilai berjumlah RM119.9 juta, berbanding 27.50 juta unit yang ditawarkan untuk permohonan oleh orang awam Malaysia.

Untuk bahagian bumiputera, sejumlah 2,881 permohonan untuk 32.34 juta unit telah diterima, mewakili kadar terlebih langganan 1.35 kali, sementara 4,330 permohonan untuk 93.83 juta unit diterima di bawah bahagian orang awam Malaysia, mewakili kadar lebihan langganan 5.82 kali.

Sementara itu, tawaran institusi yang merangkumi 422.95 juta unit yang telah ditawarkan kepada institusi dan pelabur terpilih, termasuk pelabur bumiputera yang diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan telah dilanggan sepenuhnya.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Projek Lintasan Kota Holdings Sdn. Bhd., Datuk Mohammad Azlan Abdullah berkata, pihaknya berbesar hati dengan respons langganan memberangsangkan yang diterima oleh amanah perniagaan patuh syariah pertama disenaraikan di Malaysia.

“Ini mencerminkan keyakinan terhadap model perniagaan dan prospek pertumbuhan kami.

“Kami menerima baik keyakinan yang diletakkan terhadap kami dan akan kekal komited untuk menyampaikan pulangan dan nilai yang kukuh kepada pemegang unit,” katanya dalam kenyataan.

Tambahnya, lapan pelabur asas diraih untuk IPO berkenaan, termasuk Permodalan Nasional Berhad, AHAM Asset Management Berhad, AIIMAN Asset Management Sdn. Bhd., Lembaga Tabung Haji, Maybank Asset Management Sdn. Bhd., Maybank Islamic Asset Management Sdn. Bhd., Kenanga Investors Berhad dan Kenanga Islamic Investors Berhad.

Katanya, mereka secara bersama melanggan untuk 70.9 peratus daripada tawaran institusi.

“Unit selebihnya yang ditawarkan daripada tawaran institusi, termasuk opsyen pengumpukan terlebih telah menerima permintaan tinggi daripada pelabur.

“Ia merangkumi kebanyakannya pelabur institusi jangka panjang dengan kadar terlebih langganan kira-kira 1.5 kali,” jelasnya.

AmInvestment Bank Bhd. ialah penasihat utama, bookrunner utama, bookrunner bersama, penaja jamin urusan dan penaja jamin bersama untuk IPO berkenaan.

CIMB Investment Bank Bhd. dan Maybank Investment Bank Bhd. ialah bookrunner bersama dan penaja jamin bersama, manakala RHB Investment Bank Bhd. ialah penaja jamin bersama untuk IPO berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×