PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) digesa untuk membuat sesi libat urus dengan semua pihak dalam industri berkenaan dengan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023.
Setiausaha Agung Dewan Perniagaan Vape Malaysia (DPVM) Ridhwan Rosli berkata, segala butiran secara terperinci berkenaan peraturan-peraturan yang bakal diperkenalkan di bawah akta tersebut haruslah dimaklumkan kepada mereka.
Menurutnya, pada awal tahun ini, KKM mengadakan satu sesi libat urus dengan industri tetapi tidak memberikan butiran yang terperinci berkenaan rangka kawal selia untuk industri vape.
“Agak mengejutkan apabila kami mendapat maklumat daripada laporan berita bahawa peraturan telah siap dirangka dan kini dalam penilaian pegawai undang-undang.
“Perkara ini harus diambil serius kerana industri perlu terlibat bersama dalam perbincangan
secara telus berkenaan cadangan peraturan dan dasar yang dipertimbangkan oleh kementerian,” katanya dalam kenyataan.
Difahamkan, akta berkenaan telah disemak oleh pegawai undang-undang dan kertas memorandum turut akan diangkat untuk mendapatkan persetujuan daripada Jemaah Menteri berkenaan dasar terlibat.
Sehubungan itu, kata Ridhwan Rosli, setakat ini, industri vape masih belum mengetahui butiran peraturan yang dicadangkan sama ada dikhuatiri akan memberikan kesan kepada pengoperasian semasa industri.
“Industri seharusnya perlu tahu perincian mengenai cadangan kawalan kandungan produk termasuk jenis produk yang dibenarkan, tahap maksimum isipadu vape, kepekatan nikotin dibenarkan, tatacara pembungkusan dan penjualan.
“Semua ini adalah butiran yang perlu dibincangkan bersama industri kerana ia melibatkan
produk yang terjual dan sedia ada dalam pasaran,” katanya.
Menurutnya, sekiranya industri vape terjejas ekoran peraturan yang tidak wajar dikenakan, maka, ada kemungkinan ramai peniaga akan terjejas dan terpaksa menutup perniagaan serta menyebabkan ribuan pekerja kehilangan pekerjaan.
Jelasnya, industri vape pada masa ini mempunyai lebih daripada 3,000 peniaga tempatan dan tenaga kerja yang terlibat adalah melebihi 30,000 daripada setiap lapisan masyarakat.
Oleh itu, DPVM berharap KKM akan mengadakan sesi libat urus dan memberikan penerangan berkenaan dasar dan cadangan peraturan yang dipertimbangkan agar industri boleh mendapatkan makluman yang terperinci. – UTUSAN










