Carsome lantik Eric Chan sebagai Presiden dan COO baharu - Utusan Malaysia

Carsome lantik Eric Chan sebagai Presiden dan COO baharu

ERIC CHAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Carsome Group Inc. (Carsome), platform e-dagang kereta bersepadu terbesar di Asia Tenggara melantik Eric Chan sebagai Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Operasi Kumpulan (COO) baharunya, berkuat kuasa 1 Mac lalu.

Beliau yang sebelum ini memegang jawatan Pengarah Urusan Serantau di Jardine Cycle & Carriage Limited (Singapura, Malaysia, Indonesia dan Myanmar) akan menyelia semua operasi merentasi jejak kumpulan di Asia Tenggara.

Carsome dalam kenyataan berkata, peralihan kepimpinan strategik itu dilaksanakan untuk mengukuhkan lagi komitmen syarikat terhadap pertumbuhan dan kecekapan operasi.

Katanya, Eric membawa hampir tiga dekad pengalaman operasi yang luas dalam sektor automotif dan pelantikannya menggariskan hala tuju strategik Carsome ke arah memperkukuh
kecekapan operasi dan pertumbuhan yang mampan.

“Beliau memulakan kerjayanya dari bawah sebagai profesional jualan kereta dan meningkat kepada Pengarah Urusan di Cycle & Carriage Singapore, sebagai tambahan kepada peranan penting lain.

“Pada masa ini, beliau berkhidmat sebagai Pengarah Bebas di AcroMeta Group Limited, sebuah syarikat pemegangan pelaburan yang disenaraikan di Singapore Stock Exchange,” katanya.

Sebagai sebahagian daripada peralihan ini, Aaron Kee yang sebelum ini memegang jawatan sebagai COO akan memegang jawatan sebagai Ketua Pegawai Perniagaan Kumpulan (CBO).

Carsome berkata, Aaron akan memacu penyepaduan strategi dalam ekosistem syarikat, menerajui pembangunan perniagaan dan menumpukan pada mengenal pasti dan memupuk prospek baharu melangkaui segmen perniagaan teras Carsome.

Sementara itu, Juliet Zhu yang telah menyumbang dengan ketara kepada perjalanan kejayaan Carsome, akan beralih daripada peranannya sebagai Presiden dan menyandang jawatan Penasihat kepada pasukan pengurusan, membolehkan syarikat terus menggunakan pandangan dan pengalamannya.

Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Carsome, Eric Cheng berkata, peralihan kepimpinan syarikat adalah langkah untuk memanfaatkan kekuatan dalam pasukannya terhadap objektif bercita-cita tinggi syarikat.

“Perubahan kepimpinan adalah tepat pada masanya dan sejajar dengan trajektori syarikat ke arah pertumbuhan yang mampan dan kepimpinan pasaran,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN