PETALING JAYA: Boustead Properties Berhad (Boustead Properties) dan Opus International (M) Berhad (Opus), di sokong oleh UEM Edgenta Berhad menandatangani Kontrak Prestasi Tenaga (EPC) selama 10 tahun untuk memajukan agenda kelestarian dan inovasi negara.
Perjanjian tersebut ditandatangani melalui anak syarikat milik penuh kedua-dua kumpulan iaitu Boustead DCP Sdn. Bhd. dan Opus Energy Sdn. Bhd.
Kerjasama tersebut menunjukkan komitmen kukuh syarikat dalam meningkatkan dan mengekalkan sistem penyejuk di kilang penyejukan daerah di The Curve Mall, Mutiara Damansara.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Boustead Holdings Berhad Izaddeen Daud berkata, matlamat kerjasama itu mengurangkan penggunaan tenaga dan kos operasi secara signifikan.
“Ia sekali gus menyediakan penyelesaian yang mampan dari segi alam sekitar, sejajar komitmen Boustead Properties terhadap kelestarian dan amalan alam sekitar, sosial, dan tadbir urus (ESG) melalui Agenda Kelestarian BIJAU syarikat,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, kontrak EPC itu menjangkakan penjimatan tenaga tahunan sebanyak 4.4 juta kWh/tahun yang menghasilkan penjimatan kos tenaga sebanyak RM2.3 juta setahun dan pengurangan sebanyak 38 peratus dalam penggunaan tenaga.
Selain itu, beliau berkata, kerjasama itu juga meramalkan pengurangan emisi karbon yang signifikan dengan pengurangan jangkaan sebanyak 3,432 tCO2e.
“Peningkatan kecekapan penyejukan dari 1.24 hingga 0.9 kW/RT turut menunjukkan keberkesanan penyelesaian tenaga mampan yang dilaksanakan melalui EPC,” katanya.
Beliau berkata, kerjasama itu mencerminkan bagaimana syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dapat bekerjasama untuk memacu ESG dan kelestarian melalui penyelesaian inovatif.
“Ia komitmen untuk membawa perubahan positif dan mendorong kelestarian jangka panjang dan selaras seruan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan GLC untuk memimpin pelaburan domestik yang bertujuan untuk mengukuhkan ekonomi Malaysia.
“Dengan memanfaatkan kepakaran kolektif kami, kami bersedia untuk memberikan sumbangan besar kepada agenda pembangunan mampan Malaysia,” ujarnya.-UTUSAN










