Alpha IVF sasar tembusi segmen pasaran muslim - Utusan Malaysia

Alpha IVF sasar tembusi segmen pasaran muslim

colin Lee (tiga dari kiri) bersama Pengarah Eksekutif Bukan Bebas, Dr Ng Peng Wah (tiga dari kanan) ketika penyenaraian di Pasaran ACE Bursa Malaysia, di sini semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pakar penjagaan kesuburan, Alpha IVF Group Berhad (Alpha IVF) dan anak syarikatnya menyasarkan untuk memasuki segmen pasaran muslim dalam dan luar negara melalui pelancaran pusat pakar keempatnya, Pusat Kesuburan Alhaya (Alhaya-KL).

Pengarah Urusan Kumpulan, Datuk Dr. Colin Lee berkata, usaha itu bagi mewujudkan kesedaran tentang kadar kejayaan IVF yang tinggi kepada segmen pasaran pesakit muslim yang didapati masih belum diterokai.

Menurutnya, penubuhan Alhaya-KL merupakan satu daripada strategi pengembangan kumpulan dalam pasaran tempatan.

“Alhaya-KL yang diyakini dapat menyediakan perkhidmatan ‘mesra muslim’ akan ditempatkan secara strategik berdekatan Hospital Pakar KPJ Damansara 2.

“Tujuan penempatan lokasi pusat keempat kami di kawasan tersebut adalah bagi memanfaatkan kedudukan KPJ sebagai penyedia penjagaan kesihatan terkemuka di Malaysia untuk mencapai pangkalan pelanggan mereka yang kukuh bagi pesakit muslim,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis penyenaraian Kumpulan di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Berhad (Bursa Malaysia) semalam.

Dalam pada itu, Colin turut memaklumkan sebuah pusat pakar kesuburan kumpulan itu dijangka siap menjelang akhir tahun kewangan berakhir 31 Mei 2025 manakala satu lagi bakal beroperasi menjelang akhir tahun kewangan berakhir 31 Mei 2026.

“Kami juga berhasrat untuk menubuhkan satu pusat pakar dan empat klinik satelit di Indonesia.

“Selain itu, Alpha IVF menyasarkan untuk meluaskan lagi rangkaiannya dengan menubuhkan satu lagi pusat pakar di tempat lain di Asia Tenggara selain membuka dua pejabat wakil jualan di China,” ujarnya.

Mengulas mengenai prestasi kumpulan, beliau berkata Alpha IVF mencatat keuntungan bersih sebanyak RM25.3 juta daripada hasil berjumlah RM80.1 juta bagi enam bulan berakhir 30 November 2023.

“Prestasi yang menggalakkan ini didorong oleh permintaan yang lebih tinggi untuk rawatan IVF, serta pelancong perubatan yang mendapatkan rawatan kesuburan di pusat kami,” katanya.

Sebelum itu, pada tahun kewangan sebelumnya berakhir 31 Mei 2023, kumpulan mencatatkan hasil RM137.5 juta dan untung bersih RM53.2 juta, termasuk keuntungan sekali sahaja sebanyak RM11.3 juta dalam keuntungan nilai saksama. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN