PETALING JAYA: Lembaga Tabung Haji telah menganjurkan Siri Program Kepimpinan Muda TH (TH Young Leadership Series 2024) bagi mengilap bakat kepimpinan dalam kalangan generasi muda.
Seramai 88 pelajar sekolah terdiri daripada pemimpin pelajar dan pelajar cemerlang dari 22 buah sekolah luar bandar terpilih, telah menyertai program tersebut selama dua hari di Menara TH bermula 5 Februari lalu.
Program itu dianjurkan dengan kerjasama Kementerian Pendidikan dan Jabatan Pendidikan Negeri Selangor.
Menurut Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Syed Hamadah Syed Othman, program itu yang julung kali diadakan merupakan platform perkongsian ilmu dan menimpa pengalaman daripada tokoh-tokoh industri yang berjaya bagi memberi inspirasi kepada peserta.
Kata beliau, sebagai sebuah institusi pengurusan haji negara dan Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC), TH berasa terpanggil untuk menyediakan ruang dan peluang bagi para pemain industri dan profesional daripada pelbagai organisasi untuk berkongsi pengetahuan dan pengalaman kepada generasi pelapis.
“TH amat prihatin dan memberikan sokongan sepenuhnya terhadap sebarang usaha pembangunan generasi muda terutamanya di kalangan pelajar luar bandar yang mungkin lebih memerlukan dari sudut pendedahan serta kemudahan dan kelengkapan pembelajaran agar dapat bergerak seiring dengan kemajuan semasa.
“Justeru, TH mencetuskan idea untuk membina satu program modul kepimpinan yang kolektif bagi melahirkan pemimpin masa hadapan yang berwibawa dan berkualiti sekaligus menjadi duta remaja TH,” katanya dalam kenyataan.

Antara tokoh industri yang ditampilkan ialah Pengerusi Axiata Group Berhad, Tan Sri Shahril Ridza Ridzuan. Selain itu, peserta turut mengikuti modul pemantapan rohan melalui sesi ceramah oleh ahli kumpulan nasyid UNIC yang juga selebriti, Mohd. Fakhrul Radhi Khamarudin.
Kemahiran kepimpinan para peserta turut diuji melalui pelbagai aktiviti berkumpulan yang turut melibatkan pengurusan tertinggi TH.
“Kami berharap inisiatif ini dapat mendedahkan anak-anak muda ini kepada suasana dunia korporat di samping membantu memantapkan kemahiran dan menyemai keyakinan mereka bagi mendepani cabaran masa hadapan dan menyumbang kepada agama, bangsa dan negara, Insya-Allah,” tambah Syed Hamadah. – UTUSAN










