PETALING JAYA: Bursa Malaysia mengakhiri sesi dagangan pagi lebih rendah berikutan kekurangan pemangkin baharu, menurut peniaga.
Memetik laporan Bernama, pada pukul 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 2.47 mata kepada 1,514.11 daripada 1,516.58 penutup Jumaat.
Indeks barometer dibuka 0.67 mata lebih rendah pada 1,515.91 dan seterusnya bergerak antara 1,513.27 hingga 1,520.98 sepanjang sesi.
Suasana pasaran negatif dengan kaunter rugi mengatasi untung sebanyak 529 berbanding 356, manakala 411 kaunter tidak berubah, 940 tidak diniagakan dan 11 yang lain digantung.
Jumlah dagangan berjumlah 1.90 bilion unit bernilai RM1.01 bilion.
Rakuten Trade Sdn. Bhd. berkata, keadaan pasaran kekal berhati-hati berikutan peningkatan turun naik pasaran global.
“Kami menjangkakan indeks penanda aras akan berada dalam julat antara 1,510 hingga 1,520 untuk hari ini,” katanya dalam nota kajian.
Sementara itu, dalam kalangan saham wajaran tinggi, CIMB Group Holdings Bhd. menokok dua sen kepada RM6.25, IHH Healthcare Bhd. pula meningkat empat sen kepada RM6.15. Saham CelcomDigi Bhd. naik tiga sen kepada RM4.24 dan Press Metal Aluminium Holdings Bhd. meningkat lima sen kepada RM4. 70.
Malayan Banking Bhd. tidak berubah pada RM9.34, manakala Public Bank Bhd. susut satu sen kepada RM4.42. Tenaga Nasional Bhd. pula turun lapan sen kepada RM10.78 dan Petronas Chemicals Group Bhd. susut lima sen kepada RM6.73.
Bagi saham aktif, Berjaya Land Bhd. menokok setengah sen kepada 39 sen, manakala FintecGlobal Bhd. tidak berubah pada setengah sen, sementara Malaysian Resources Corporation Bhd. susut 1.5 sen kepada 60 sen, dan Reneuco Bhd. turun setengah sen. sen kepada 9.5 sen. – UTUSAN










