SME Bank perkasa usahawan capai eksport global di Gulfood

SME Bank perkasa usahawan Malaysia capai eksport global di Gulfood Dubai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: SME Bank telah membimbing 11 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan untuk meneroka peluang eksport di Gulfood Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Gulfood yang diiktiraf antara pameran perdagangan makanan dan minuman (F&B) tahunan terbesar di dunia, menyediakan platform strategik bagi usahawan Malaysia untuk mempamerkan produk mereka di pentas global.

Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Datuk Wira Dr. Aria Putera Ismail dalam kenyataan berkata, pihaknya amat berbesar hati kerana sekali lagi dapat membawa usahawan tempatan ke Gulfood.

Katanya, usahawan merupakan peserta Program Eksport Perniagaan (BEP) dan Program Market Access Incentive (MASSIVE), program di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) diterajui oleh SME Bank dengan kerjasama Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).

“Ini merupakan tahun ketiga berturut-turut SME Bank membawa peserta di bawah program ini ke Gulfood, yang telah memperluaskan peluang perniagaan untuk usahawan Malaysia, khususnya dalam sektor halal di pasaran antarabangsa.

“Peserta Gulfood 2023 kami berjaya menjana jualan bernilai RM6.35 juta dan kami menjangkakan jumlah ini akan bertambah pada tahun akan datang,” katanya dalam kenyataan.

Program selama seminggu itu turut menyaksikan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Tishas Food Manufacturing Sdn. Bhd. dengan Happymarket Trading Co. Pte. Ltd Maldives, serta antara Syilis Food Manufacturing Sdn. Bhd. dengan Imperia Asia F&B Trading Co. LLC.

Selain itu, Syillis Food Manufacturing Sdn. Bhd., Syed Food Industries Sdn. Bhd. dan Skinny Bakers Group Sdn. Bhd.,turut melancarkan produk baharu masing-masing iaitu Minyak cli, Kuih kacang berperisa durian musang King, Nasi Ayam Mandy dan Biskut Kuih Bakar.

“Pengenalan produk Malaysia yang inovatif ini mencerminkan kepintaran dan kepakaran dinamik PKS kita, menggabungkan tradisi dan inovasi untuk pasaran global.

“SME Bank akan terus menyokong PKS secara holistik bukan sahaja melalui program pembangunan kapasiti dan bantuan kewangan, tetapi juga menyediakan platform untuk meningkatkan pengiktirafan jenama mereka,” katanya.

Beliau berkata, setakat ini, SME Bank telah berjaya membimbing 62 syarikat sejak program BEP dimulakan pada 2020.

“Walaupun menghadapi cabaran pandemik Covid-19 ketika itu, peserta program BEP telah berjaya menjana jualan eksport sebanyak RM150.48 juta, sekali gus mempamerkan dedikasi SME Bank sebagai penggerak pertumbuhan ekonomi melalui perdagangan antarabangsa,” katanya.  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN