‘Saya bukan bersara, saya meletakkan jawatan’

‘Saya bukan bersara, saya meletakkan jawatan’

RAJA MOHAMED AFFANDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: “Pertamanya, saya bukan bersara, bukannya berhenti, bukannya dipecat.

“Saya meletakkan jawatan (Pengerusi LTAT) tersebut berkuat kuasa 7 Februari lalu,” jelas Pengerusi Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), Je­neral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor kepada Utusan Malaysia.

Beliau memberi penjelasan itu susulan kenyataan LTAT yang menyatakan Raja Moha­med Affandi bersara sebagai Pengerusi LTAT berkuat kuasa 8 Februari.

Bagaimanapun, bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) itu enggan mengulas lanjut mengenai peletakan jawatan tersebut.

Sebaliknya, beliau hanya men­jelaskan akan meletakkan dirinya sebagai menjaga keberadaan dan kepentingan LTAT.

“Saya meletakkan diri saya sebagai menjaga keberadaan dan kepentingan LTAT melebihi daripada segala-galanya kerana ia (LTAT) milik warga tentera,” jelasnya.

LTAT dalam kenyataan tersebut memaklumkan, kepimpinan Raja Mohamed Affandi adalah penting dalam melakar penca­paian bermakna, terutama men­dapatkan kelulusan bagi pindaan kepada Akta Tabung Angkatan Tentera 1973 (Akta 101), yang disasarkan untuk memperkasakan rangka kerja tadbir urus korporat LTAT.

Selain itu, Raja Mohamed Affandi menerajui pelaksanaan Pelan Antirasuah Organisasi, menekankan dedikasi LTAT terhadap amalan etika dan ketelusan.

Di bawah bimbingan beliau, LTAT berjaya menyiapkan Pelan Transformasi 2019-2023, meletakkan organisasi pada trajektori yang mantap untuk pertumbuhan dan kemampanan masa depan.

Selain itu, kepimpinan berwawasan dan usaha tegas telah sesungguhnya mengukuhkan asas-asas LTAT, meninggalkan legasi kecemerlangan yang berkekalan dan integriti.

Jelas LTAT, di bawah kepim­pinan Raja Mohamed Affandi, LTAT memulakan Garis Panduan & Dasar Risiko Pelaburan, kayu ukur penting yang menjamin perlindungan pelaburan LTAT serta mengoptimumkan profil pulangan-risiko.

“Lembaga Pengarah, pengu­rusan dan kakitangan LTAT menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Raja Affandi di atas kepimpinan dan sumba­ngannya yang tidak ternilai sepanjang tempoh perkhidmatan dan selamat maju jaya,” katanya.

Raja Mohamed Affandi dilantik sebagai Pengerusi LTAT pada 3 Ogos 2021 menggantikan Tan Sri Mohd. Zahidi Zainuddin yang menamatkan tempoh tiga tahun perkhidmatannya.

Pengunduran beliau yang akan genap 66 tahun pada Jun ini, menyusuli pengunduran Ketua Pegawai Eksekutif LTAT, Datuk Ahmad Nazim Abd. Rahman pada 31 Januari lalu.

Menurut laporan, pengundu­ran kedua-dua tokoh itu berlaku dalam tempoh sebulan selepas pelan penstrukturan semula LTAT ditangguhkan susulan pertukaran tampuk teraju Kementerian Pertahanan yang mengawal selia LTAT. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×