PETALING JAYA: Rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia (BNM) berjumlah AS$115.4 bilion pada 15 Februari 2024, meningkat berbanding AS$114.8 bilion pada 31 Januari lalu.
Bank Pusat dalam kenyataan berkata, paras rizab memadai untuk membiayai 5.5 bulan import barangan dan perkhidmatan serta 1.0 kali jumlah hutang luar negara jangka pendek.
BNM berkata, daripada lima komponen utama rizab, rizab mata wang asing berjumlah AS$102.9 bilion, diikuti oleh kedudukan rizab Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) (AS$1.4 bilion), hak pengeluaran khas (SDR) (AS$5.8 bilion), emas (AS$2.6 bilion) dan aset rizab lain (AS$2.7 bilion).
Jumlah aset adalah sebanyak RM634.18 bilion merangkumi emas dan pertukaran asing serta rizab lain, termasuk SDR (RM529.73 bilion), kertas kerajaan Malaysia (RM13.0 bilion), deposit dengan institusi kewangan (RM1.31 bilion), pinjaman dan pendahuluan (RM24.48 bilion), tanah serta bangunan (RM4.13 bilion) dan aset lain (RM61.54 bilion).
Modal dan liabiliti terdiri daripada modal berbayar (RM100.0 juta), rizab (RM186.31 bilion), mata wang dalam edaran (RM169.88 bilion), deposit oleh institusi kewangan (RM157.38 bilion), deposit kerajaan persekutuan (RM18.25 bilion), lain-lain deposit (RM39.57 bilion), kertas Bank Negara (RM30.71 bilion), peruntukan SDR (RM29.74 bilion) dan liabiliti lain (RM3.23 bilion). – UTUSAN










