PETALING JAYA: Ringgit meneruskan trend kejatuhan apabila dibuka rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pagi ini, terjejas oleh data pasaran buruh AS yang kukuh, kata penganalisis.
Memetik laporan Bernama, pada 9 pagi, ringgit jatuh kepada 4.7820/7870 berbanding dolar AS daripada 4.7705/7745 pada penutup semalam.
Data tuntutan pengangguran AS lebih rendah daripada jangkaan pada 218,000 minggu lepas berbanding anggaran konsensus penganalisis sebanyak 221,000, dan mencadangkan pasaran buruh yang teguh, apabila lebih sedikit rakyat AS menuntut faedah pengangguran.
Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd., Dr. Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, indeks penanda aras S&P 500 AS melepasi 5,000 mata, petanda bahawa pelabur yakin tentang pendapatan syarikat negara itu tahun ini.
“Secara keseluruhannya, dolar AS berada dalam keadaan selesa kerana Rizab Persekutuan (Fed) tidak mungkin akan berbalik arah dalam masa terdekat, memberikan lebih kelebihan kepada dolar AS. Oleh itu, ringgit berkemungkinan kekal lemah hari ini berbanding dolar AS,” katanya.
Sementara itu, ringgit diniagakan rendah berbanding sekumpulan mata wang utama tetapi bertambah baik berbanding yen Jepun kepada 3.2010/2046 daripada 3.2068/2100 pada penutupan semalam.
Ia susut berbanding pound Britain kepada 6.0320/0383 daripada 6.0251/0302 sebelum ini dan susut berbanding euro kepada 5.1516/1570 daripada 5.1445/1488.
Mata wang tempatan itu juga didagangkan kebanyakannya rendah berbanding mata wang ASEAN lain tetapi lebih baik berbanding baht Thailand pada 13.3103/3317 daripada 13.3191/3362.
Ringgit rendah sedikit berbanding dolar Singapura pada 3.5477/5517 berbanding 3.5471/5506 semalam. Ia juga rendah berbanding rupiah Indonesia pada 305.8/306 berbanding 305.0/305.5 dan susut berbanding peso Filipina kepada 8.55/8.56 daripada 8.53/8.54 sebelumnya. – UTUSAN










