Ringgit menambah nilai berbanding dolar AS kepada RM4.77

Ringgit melantun semula, menambah nilai berbanding dolar AS kepada RM4.77

- GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ringgit melantun semula berbanding dolar AS pada awal dagangan hari ini apabila dolar AS jatuh sedikit, namun kekal disokong di tengah-tengah jangkaan Rizab Persekutuan (Fed) akan terus mengekalkan pendirian dasar monetari yang ketat.

Pada pukul 9 pagi, ringgit menambah nilai kepada 4.7725/7775 berbanding dolar AS daripada 4.7750/7795 pada penutup Jumaat, memetik laporan Bernama.

Ketua ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd., Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid menjangkakan ringgit kekal stabil pada sekitar RM4.77 hari ini dengan sentimen masih lemah.

Beliau berkata, beberapa pegawai Fed pada minggu lalu menunjukkan kebimbangan terhadap pelonggaran pramatang berikutan paras kadar inflasi yang meningkat.

Katanya, dolar AS nampaknya berada di titik selesa memandangkan ekonomi AS yang teguh walaupun terpaksa berdepan dengan kadar yang lebih tinggi.

“Ini telah menjadikannya menonjol daripada kumpulan G7 yang lain, membawa kepada permintaan yang lebih tinggi untuk dolar AS. Ia agak rumit kerana kesan daripada tindakan dasar monetari yang lalu akan mengambil sedikit masa untuk memberi kesan yang ketara,” katanya.

Sementara itu, ringgit diniagakan kebanyakannya lebih tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ringgit lebih tinggi berbanding pound British kepada 6.0425/0488 daripada 6.0437/0494 pada penutup Jumaat, meningkat berbanding euro kepada 5.1619/1673 daripada 5.1656/1705, namun lebih rendah berbanding yen Jepun pada 3.1736/1772 daripada 3.1677/1709.

Di peringkat serantau, ringgit didagangkan bercampur-campur berbanding mata wang ASEAN.

Ia meningkat berbanding peso Filipina pada 8.53/8.54 daripada 8.54/8.55, lebih tinggi berbanding rupiah Indonesia kepada 305.9/306.4 daripada 306.1/306.5 pada Jumaat.

Ringgit bagaimanapun lemah sedikit berbanding dolar Singapura kepada 3.5494/55384 daripada 3.5489/5525 dan susut nilai berbanding baht Thailand pada 13.2584/2782 berbanding 13.2198/2381 sebelumnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×