PUTRAJAYA: Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) akan meneruskan pemberian geran pembangunan perniagaan kepada alumni program Jom Jadi Perantis (JumPER) dengan menyasarkan penyertaan lebih 300 peserta membabitkan peruntukan bernilai RM5 juta, tahun ini.
Menurut Pengerusi PUNB, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, program tersebut akan terus ditambah baik bagi memastikan ia kekal relevan bagi golongan belia yang mahu menjadikan bidang keusahawanan sebagai kerjaya.
“Untuk alumni JumPER tahun lepas kita peruntukkan RM1.5 juta melibatkan 78 peserta dan saya dapati program berkenaan membantu graduan untuk membina kerjaya dalam perniagaan.
“Justeru, saya cadangkan kepada pengurusan PUNB untuk tahun 2024 (agar) kita naikkan (peruntukan) daripada lebih RM1 juta pada tahun lalu kepada RM5 juta (tahun ini) dengan bilangan peserta kita tingkatkan kepada sekurang-kurangnya antara 300 hingga 400 orang,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Apresiasi JumPER PUNB 2023 di sini semalam.
Mengulas lanjut, beliau berkata, program JumPER PUNB telah diperkenalkan sejak 2009 bagi menggalakkan golongan belia siswazah menceburi bidang perniagaan dengan memperkenalkan konsep latihan perantisan bersama mentor.
Jelasnya, para peserta yang terpilih akan mengikuti latihan sehingga lapan bulan selain menerima elaun daripada PUNB.
“Sejak 2009 sehingga Disember 2023, seramai 4,256 peserta telah terpilih untuk mengikuti program JumPER dan 391 kelulusan pembiayaan perniagaan diluluskan membabitkan nilai sebanyak RM20.9 juta,” ujarnya.
Tambahnya lagi, pada tahun lalu, PUNB memperuntukkan sejumlah RM3.68 Juta bagi menjayakan tiga program di bawah inisiatif pembangunan usahawan muda yang melibatkan Geran Pembangunan Perniagaan Alumni JumPER, Program Latihan Pendigitalan Perniagaan – JumPER GREAT (Graduate Entrepreneurship Training) dan PUNB – Institusi Pengajian Tinggi (IPT) Unichallenge 2023.
“Di bawah inisiatif pembangunan usahawan muda, PUNB akan turut memperkenalkan pakej pembiayaan yang lebih menarik serta komprehensif seperti memperkenalkan rebat pembiayaan untuk rakan usahawan yang mempunyai rekod bayaran yang baik, selain beberapa insentif lain yang bakal diumumkan kelak.
“PUNB sentiasa cuba memperkenalkan inisiatif baharu bagi menyemarakkan budaya keusahawanan dalam kalangan belia bumiputera, sekali gus meningkatkan penyertaan usahawan yang lebih berkualiti dan mahir dalam penggunaan teknologi digital, selaras dengan era digital,” katanya. – UTUSAN










