Prasarana, AirAsia MOVE jalin kerjasama strategik

Prasarana, AirAsia MOVE jalin kerjasama strategik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) dan AirAsia MOVE menjalin kerjasama strategik untuk perkukuh perkhidmatan pengangkutan awam bandar.

Kerjasama strategik antara Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) dan AirAsia MOVE melalui anak syarikat mereka Prasarana Integrated Development Sdn Bhd (PRIDE) dan AirAsia Ride adalah untuk meningkatkan pengalaman perjalanan dari pintu ke destinasi.

Melalui kerjasama itu, pengguna Rapid KL bakal menikmati perjalanan first-mile-last-mile (FMLM) yang lebih lancar dengan integrasi aplikasi perancang perjalanan MyRapid PULSE (PULSE) bersama perkhidmatan e-hailing AirAsia Ride.

Ketua Pegawai Eksekutif PRIDE, Fa’izah Khairuddin berkata, pihaknya teruja untuk memeterai kerjasama itu dengan AirAsia MOVE yang dapat memanfaatkan perkhidmatan e-hailing AirAsia Ride sebagai penghubung destinasi akhir, sekali gus menyokong visi Syarikat untuk mengutamakan keselesaan perjalanan harian pengguna pengangkutan awam.

Kata beliau, kerjasama itu secara langsung dapat menghubungkan FMLM dan meningkatkan kecekapan serta memperbaiki ekosistem perjalanan yang lebih bersepadu.

“Inisiatif ini juga menyokong visi kerajaan untuk mencapai sasaran perkongsian mod pengangkutan awam sebanyak 40 peratus menjelang 2030,” katanya dalam kenyataan.

Di bawah kerjasama strategik itu, pengguna Rapid KL akan dapat menikmati rebat eksklusif RM2 bagi perkhidmatan e-hailing AirAsia Ride melalui 24 stesen LRT di bawah dengan mudah melalui aplikasi PULSE.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Serantau AirAsia Ride, Lim Chiew Shan pula berkata, Syarikat berbangga untuk berkongsi berita baik itu dengan pengguna PULSE dan AirAsia Ride.

“Sistem tren LRT telah membawa pengguna merentasi Lembah Klang lebih dari dua dekad. Kami berbesar hati untuk menjalin kerjasama dan menjadi penghubung FMLM dalam sistem pengangkutan awam di Lembah Klang. Para pengguna akan menikmati perjalanan yang lebih selamat serta penjimatan kos melalui stesen-stesen LRT terpilih,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN