PETALING JAYA: Pelaburan Hartanah Berhad (PHB) dianugerahkan penarafan kredit korporat jangka panjang dan pendek tertinggi iaitu AAA dan P1 oleh RAM Rating Services Berhad (RAM Ratings).
PHB dalam kenyataan berkata, Komitmen PHB membolehkan penyertaan pemilikan oleh bumiputera dicapai melalui penyuntikan kepemilikan yang bermanfaat dari aset hartanahnya ke dalam dana amanah patuh syariah Amanah Hartanah Bumiputera (AHB).
Ketua Pegawai Eksekutif PHB, Mohamad Damshal Awang Damit berkata, Kejayaan PHB berasal daripada pengambilan hartanah komersial di lokasi-lokasi strategik di seluruh Malaysia.
Jelasnya, ia dicapai dengan mengekalkan disiplin kewangan dan menyeimbangkan pertumbuhan pesat dengan pengurusan kewangan yang berhemah.
Menurutnya, kedudukan kewangan PHB kukuh dengan nisbah keutamaan sebanyak 0.28 kali dan fleksibiliti kewangan signifikan dalam bentuk garis kredit besar pada Disember 2022 bagi memenuhi tanggungjawab jangka pendek dan jangka panjangnya.
Katanya, sokongan kerajaan yang nyata melalui bantuan monetari dan bukan monetari seperti skim pengecualian cukai dan geran dapat membantu mendanai perolehan hartanah dan projek pembangunan PHB serta melengkapi aliran tunai operasionalnya.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif RAM Ratings, Awang Za’aba Awang Mahmud berkata, RAM Ratings percaya pasaran modal domestik boleh menjadi sumber pembiayaan alternatif baik bagi agensi kerajaan yang serupa untuk menyumbang kepada pembangunan negara
“Kedudukan kredit PHB yang baik menunjukkan dedikasinya kepada ketelusan dan membolehkan syarikat mempercepat cita-citanya dalam pengembangan dan menyediakan faedah diversifikasi kepada pelabur,” katanya.
AHB kini bernilai RM4.85 bilion yang memberi manfaat kepada lebih daripada 70,000 pelabur Bumiputera di Malaysia dengan dividen tahunan stabil berkisar antara 4.7 peratus hingga 7.5 peratus antara 2011 dan 2023. – UTUSAN










