PETALING JAYA: Perdagangan borong dan runcit Malaysia mencecah paras tertinggi sebanyak RM143.9 bilion pada Disember 2023, dengan suku tahun keempat mencatatkan RM428.8 bilion, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, bagi keseluruhan 2023, jumlah jualan mencapai RM1.7 trilion, peningkatan 7.7 peratus.
Beliau berkata, peningkatan disokong oleh Perdagangan Runcit yang meningkat RM59.7 bilion atau 9.0 peratus untuk berada pada RM720.8 bilion.
“Ini diikuti oleh Perdagangan Borong yang berkembang dengan 5.2 peratus kepada RM747.1 bilion. Subsektor Kenderaan Bermotor juga mencatatkan jualan lebih tinggi berbanding 2022, meningkat 12.3 peratus kepada RM205.7 bilion,” katanya dalam kenyataan.
Dalam pada itu, Mohd. Uzir berkata, peningkatan sebanyak 4.8 peratus tahun ke tahun bagi perdagangan borong dan runcit pada Disember 2023 dipacu oleh subsektor Perdagangan Runcit yang meningkat 5.0 peratus atau RM3.0 bilion kepada RM62.4 bilion.
Katanya, perdagangan Borong juga berkembang dengan mencatatkan 4.4 peratus atau RM2.6 bilion kepada RM62.9 bilion, diikuti oleh Kenderaan Bermotor dengan pertumbuhan 5.9 peratus atau RM1.0 bilion untuk berada pada RM18.6 bilion.
Menurut Mohd. Uzir, peningkatan 1.0 peratus berbanding bulan sebelumnya adalah disumbangkan oleh Perdagangan Runcit yang naik 1.8 peratus, diikuti subsektor Kenderaan Bermotor yang tumbuh 2.7 peratus.
“Walau bagaimanapun, subsektor Perdagangan Borong merekodkan pertumbuhan negatif iaitu -0.4 peratus pada bulan ini,” katanya.
Mengulas prestasi mengikut subsektor, beliau berkata, pertumbuhan 5.0 peratus tahun ke tahun bagi Perdagangan Runcit disumbangkan oleh Jualan Runcit di Kedai Bukan Pengkhususan yang tumbuh 6.3 peratus atau RM1.4 bilion kepada RM23.8 bilion.
Bagi perbandingan bulanan, jualan subsektor meningkat 1.8 peratus, disokong oleh Jualan Runcit di Kedai Bukan Pengkhususan (1.8 peratus), Jualan Runcit di Kedai Pengkhususan (3.2 peratus), Jualan Runcit Barangan Isi Rumah (1.3 peratus) dan Jualan Runcit Makanan, Minuman dan Tembakau (1.9 peatus).
Mengenai subsektor Perdagangan Borong, kenaikan 4.4 peratus tahun ke tahun pada bulan ini disokong oleh Lain-lain Pengkhususan Jualan Borong yang meningkat RM1.4 bilion atau 6.2 peratus kepada RM23.9 bilion.
Mohd. Uzir turut menerangkan, pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 5.9 peratus bagi subsektor Kenderaan Bermotor pada Disember dipacu oleh Jualan Komponen dan Aksesori Kenderaan Bermotor yang melonjak 10.9 peratus atau RM0.5 bilion untuk merekodkan RM4.7 bilion.
“Ia diikuti oleh Jualan Kenderaan Bermotor (4.4 peratus) dan Penyelenggaraan & Pembaikan Kenderaan Bermotor (12.3 peratus). Bagi perbandingan bulanan, subsektor ini berkembang 2.7 peratus, disumbangkan oleh Jualan Kenderaan Bermotor (4.7 peratus), Jualan Komponen dan Aksesori Kenderaan Bermotor (0.7 peratus) dan Penyelenggaraan dan Pembaikan Kenderaan Bermotor (0.9 peratus),” katanya.
Mengenai prestasi suku tahunan, peningkatan 5.8 peratus pada suku keempat tahun ini bagi Perdagangan Borong & Runcit disokong oleh subsektor Perdagangan Borong yang meningkat RM9.8 bilion atau 5.4 peratus kepada RM189.4 bilion.
Sementara itu, Mohd. Uzir berkata, indeks volum perdagangan borong dan runcit merekodkan pertumbuhan 4.2 peratus tahun ke tahun pada suku tahun keempat 2023 untuk mencapai 153.1 mata, menjadikan prestasi keseluruhan tahun 2023 kepada 5.6 peratus berbanding 2022.
“Peningkatan 4.2 peratus tahun ke tahun disumbangkan oleh subsektor Kenderaan Bermotor yang melonjak 9.8 peratus, diikuti oleh Perdagangan Borong dan Perdagangan Runcit yang meningkat masing-masing 4.6 peratus dan 2.9 peratus.
“Bagi perbandingan suku tahun ke suku tahun, indeks volum naik 0.8 peratus, disokong oleh Kenderaan Bermotor yang bertumbuh 3.7 peratus,” jelas beliau. – UTUSAN