PETALING JAYA: MIDF Research mengunjurkan eksport Malaysia akan pulih sebanyak 5.2 peratus pada 2024, didorong oleh peningkatan permintaan untuk produk petroleum dan minyak sawit, di samping jangkaan pemulihan dalam perdagangan elektrik dan elektronik (E&E).
Dalam nota kajian, firma penyelidikan itu berkata, penguncupan 7.4 peratus dalam eksport ke China dan 7.9 peratus ke Hong Kong mungkin disebabkan oleh aktiviti perniagaan yang lebih perlahan menjelang cuti Tahun Baharu Cina.
Namun begitu, MIDF menjangkakan penghantaran ke pasaran utama seperti China, Amerika Syarikat (AS) dan negara serantau akan bertambah baik, sekali gus menyokong pemulihan perdagangan tahun ini.
Ia turut memberi amaran terhadap beberapa risiko penurunan seperti ketegangan geopolitik dan perdagangan yang semakin teruk, selain permintaan yang lebih rendah daripada rakan dagangan utama dan kelemahan yang berpanjangan dalam aktiviti pengeluaran global.
RHB Investment Bank turut optimis mengenai prospek perdagangan Malaysia di sebalik prospek ekonomi global dan serantau yang lebih cerah.
Katanya, permintaan import yang lebih tinggi dari China dijangkakan memandangkan momentum ekonomi di negara itu telah mula meningkat.
“Malaysia akan berada di barisan hadapan untuk mendapat manfaat daripada pemulihan dalam ekonomi China kerana produk eksport utama seperti E&E, jentera dan kelengkapan pengangkutan, dan barangan perkilangan lain, menguasai bahagian terbesar perdagangan dalam permintaan import China,” katanya.
UOB Global Economics and Markets Research sebaliknya menjangkakan pertumbuhan lebih sederhana untuk eksport Malaysia tahun ini dengan unjuran sekitar 3.5 peratus disebabkan oleh tekanan makro yang berlarutan.
Firma itu berkata, peningkatan dan lanjutan ketegangan geopolitik di Asia Barat dan Krisis Laut Merah akan mengganggu rantaian bekalan global dan meningkatkan kos.
“Selain itu, kemerosotan berterusan dalam sektor hartanah China dan pendirian dasar monetari global yang ketat untuk tempoh yang berpanjangan mungkin akan mengekalkan permintaan luar yang lemah dan meredakan peningkatan yang dijangkakan dalam kitaran teknologi global tahun ini,” katanya dalam nota kajian.
Perdagangan Malaysia pada Januari 2024 meningkat sebanyak 13.3 peratus kepada RM234.73 bilion setelah merekodkan penyusutan tahun ke tahun bagi 10 bulan berturut-turut.
Menurut kenyataan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), eksport meningkat 8.7 peratus kepada RM122.43 bilion dan import naik 18.8 peratus kepada RM112.3 bilion.
Katanya, ia merupakan nilai bulanan tertinggi direkodkan bagi Januari.
“Sementara itu, lebihan dagangan berjumlah RM10.12 bilion dan merupakan lebihan dagangan ke-45 bulan berturut-turut sejak Mei 2020,” katanya. – UTUSAN










