PETALING JAYA: Pembiayaan berasaskan pasaran penting untuk memperkasakan inovasi perusahan kecil dan sederhana (PKS) bagi memacukan Malaysia ke arah ekonomi berpendapatan tinggi, kata Institut Penyelidikan Pasaran Modal Malaysia (ICMR)
Berdasarkan penyelidikan terkininya iaitu Market-Based Financing for SMEs in Malaysia: Issues, Challenges, and Way Forward, penting untuk kepelbagaian dalam ekosistem pembiayaan dalam PKS demi pemerkasaan dan pembangunan dalam sektor yang dipacu oleh inovasi.
Menurutnya, pembiayaan berasaskan pasaran menawarkan pelbagai pilihan pembiayaan, termasuklah Tawaran Awam Permulaan (IPO), modal teroka (VC), ekuiti persendirian (PE), pendanaan ramai ekuiti (ECF) dan pembiayaan rakan setara (P2P).
Pengerusi ICMR, Tan Sri Dr. Mohd Munir Majid berkata, sektor pertumbuhan baharu di bawah Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP) dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) menjadi pemacu usaha pemulihan semula ekonomi Malaysia.
“Peranan pembiayaan berasaskan pasaran kini bertambah penting untuk memacu inovasi dalam kalangan PKS.
“Ia merupakan langkah asas ke arah memimpin negara untuk bebas daripada perangkap berpendapatan sederhana dan seterusnya memupuk transformasi negara kita menjadi sebuah ekonomi maju yang berdaya tahan dan menekankan kemampanan,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.
Tambah laporan itu, pembiayaan berasaskan pasaran dapat menangani cabaran yang timbul akibat daripada kolateral dan sejarah kredit yang terhad, di samping mengurangkan pergantungan PKS kepada sumber tunggal pembiayaan, lantas meningkatkan daya tahan kewangan PKS.
“Hasil daripada tinjauan mendapati bahawa 64 peratus PKS mempunyai pengalaman dalam mendapatkan pembiayaan luaran, dengan majoriti memilih untuk mendapatkan pembiayaan bank untuk memenuhi keperluan modal kerja.
“Walaupun kurang digunakan berbanding pembiayaan bank, PKS memilih untuk menggunakan pembiayaan berasaskan pasaran bagi tujuan pengembangan perniagaan,” ujarnya.
Menurutnya, bagi PKS yang tiada pengalaman menggunakan pembiayaan berasaskan pasaran, 61 peratus menyatakan bahawa mereka sedar akan kewujudannya, manakala baki 39 peratus tidak mengetahui akan kewujudan pembiayaan berasaskan pasaran.
“Antara halangan utama untuk PKS menggunakan pembiayaan berasaskan pasaran termasuklah prosedur yang rumit dan panjang, peraturan yang terlalu ketat, kos pembiayaan yang tinggi serta jangkauan yang tidak mencukupi daripada pemain industri.
“Berdasarkan temu bual, cabaran tersebut lebih ketara dalam kalangan PKS yang terletak di luar kawasan Lembah Klang. PKS juga melaporkan ketidakbiasaan dengan tempat dan cara untuk mengakses pembiayaan berasaskan pasaran berbanding cara lebih tradisional seperti bank,” jelasnya.
Tinjauan tersebut dijalankan di peringkat perusahaan yang ditujukan kepada para pembuat keputusan daripada pelbagai PKS termasuk syarikat pemula, perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dan syarikat pertengahan (MTC) untuk memberikan gambaran menyeluruh lanskap pembiayaan bagi PKS seluruh Malaysia.-UTUSAN










