PETALING JAYA: Paramount Corporation Berhad optimis dengan pertumbuhan perniagaan ruang pejabat bersamanya, Co-Labs Coworking dan mengunjurkan sumbangan sebanyak 10 peratus kepada pendapatan syarikat dalam masa lima tahun akan datang.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Jeffrey Chew Sun Teong berkata, sumbangan perniagaan itu kepada kumpulan masih kecil ketika ini, tetapi syarikat kini sudah berada di tujuh lokasi melibatkan ruang seluas 167,000 kaki persegi.
Katanya, pihaknya sentiasa mencari peluang untuk mengembangkan perniagaan tersebut terutamanya di kawasan yang berhampiran dengan pembangunan berorientasikan transit (TOD) kerana lokasinya yang strategik.
“Bagi tahun ini kami menyasarkan untuk mencapai penghunian sehingga 75 peratus. Ini adalah nombor yang agak besar tapi kami optimis.
“Malah, dalam sembilan bulan pertama bagi tahun kewangan kami sudah mendapat pulangan modal dan berjaya membuat keuntungan. Oleh itu, kami menjangkakan dapat membuat keuntungan pada 2024,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini, baru-baru ini.
Beliau berkata, pihaknya juga menunggu industri ‘coworking’ untuk tumbuh pada kadar yang pantas berikutan peralihan syarikat yang lebih memilih ruang pejabat bersama untuk menjalankan perniagaan mereka.
Menurutnya, industri tersebut dijangka menguasai 10 hingga 15 peratus daripada pasaran ruang pejabat pada masa hadapan.
“Buat masa ini, kami masih lagi sebahagian kecil pada 167,000 kaki persegi dan pasaran ‘coworking’ di Malaysia dalam keseluruhan adalah sekitar sejuta hingga 1.5 juta kaki persegi.
“Jadi, kami kira-kira satu hingga dua peratus dari segi pegangan pasaran keseluruhan. Tetapi ini dijangka berkembang kepada 10 hingga 15 peratus pada masa hadapan,” ujarnya.
Tambah beliau, syarikat pada mulanya menyasarkan perniagaan tersebut kepada perusahan kecil dan sederhana (PKS) dan syarikat pemula, tetapi ini permintaan turut dilihat dalam syarikat besar termasuk bank, firma guaman, mahupun syarikat antarabangsa
Jeffrey berkata, kelebihan ‘coworking’ adalah fleksibiliti untuk pindah ke dari pejabat mereka dengan mudah dan tidak perlu mengeluarkan modal yang tinggi untuk kerja ubah suai apabila memasuki pejabat baharu.-UTUSAN










