PETALING JAYA: Paramount Corporation Berhad (Paramount) mencatatkan keuntungan sebelum cukai (PBT) sebanyak RM130.2 juta untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023, naik 24 peratus berbanding RM105.12 juta tahun sebelumnya.
Bagi tempoh sama, hasil Syarikat meningkat sebanyak 19 peratus kepada RM1.0 bilion, daripada RM847.46 juta pada 2022.
Keuntungan Kumpulan yang boleh diagihkan kepada pemegang ekuiti biasa Syarikat pada meningkat sebanyak 38 peratus kepada RM82.8 juta berbanding RM60.2 juta pada tahun sebelumnya.
Paramount mengisytiharkan dividen interim kedua sebanyak 4.0 sen untuk bagi tahun kewangan tersebut, yang akan dibayar pada 27 Mac 2024 kepada pemegang saham yang berada dalam rekod pendeposit pada 13 Mac 2024.
Untuk manfaat pemegang saham, Lembaga Pengarah Paramount telah memutuskan untuk menerima pakai amalan mengisytiharkan dividen interim kedua, jika ada, berbanding dengan mencadangkan dividen akhir, bagi membolehkan pemegang saham menerima dividen lebih awal.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Jeffrey Chew berkata, Paramount mencapai pertumbuhan dua angka dalam hasil dan PBT untuk tahun ketiga.
Katanya, Kumpulan mencecah pendapatan RM1 bilion buat kali pertama dan merupakan tahun kedua berturut-turut kami mencapai jualan melebihi RM1 bilion.
“Prestasi kukuh bahagian hartanah pada 2023 ditambah dengan peningkatan dalam prestasi kewangan perniagaan kami yang lain menunjukkan keupayaan kumpulan untuk berkembang maju dalam persekitaran pertumbuhan sederhana.
“Bahagian hartanah kami mencapai jualan RM1.1 bilion walaupun nilai pembangunan kasar (GDV) dilancarkan sebanyak 27 peratus lebih rendah sebanyak RM886 juta (TK2022: RM1.2 bilion).
“Penjualan hartanah yang menggalakkan yang dicapai akan menyumbang secara positif kepada hasil kumpulan apabila pembinaan hartanah ini berjalan lancar,” katanya dalam kenyataan, semalam. – UTUSAN










