PETALING JAYA: Cargill menjadi pembekal minyak makan global pertama yang mematuhi tahap toleransi maksimum yang disyorkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk asid lemak trans yang dihasilkan dengan cara berkaitan industri (iTFA) dalam lemak dan minyak.
Pengarah Urusan Cargill bagi Amerika Utara, Natasha Orlova dalam kenyataan berkata, kejayaan itu telah memenuhi tujuan dalam memupuk dunia dengan cara yang selamat, bertanggungjawab dan mampan.
Beliau berkata, Cargill telah menambah iTFA kepada program jaminan keselamatan dan kualiti makanan syarikat dan pendekatan berasaskan sistem itu merangkumi pelbagai lapisan pemantauan, pematuhan dan pengauditan untuk memastikan pematuhan WHO.
“Kami merupakan satu-satunya pembekal minyak makan global yang pertama yang komited dan memenuhi standard WHO secara tekal dan menyeluruh untuk portfolio global penuh,” katanya.
Menurut Orlove, Cargill telah membuktikan bahawa itu bukan sahaja boleh dilaksanakan untuk memenuhi saranan iTFA sambil memberikan perhatian kepada tahap lemak tepu, tetapi boleh dilakukan tanpa mengubah rasa atau tekstur makanan kegemaran pengguna dengan ketara.
“Kami menyeru pemain industri lain untuk mengikuti usaha kami dan menyingkirkan iTFA daripada semua produk masing-masing,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Sains PepsiCo, René Lammers berkata, Cargill berjaya mencapai matlamatnya untuk menjajarkan dengan standard yang disyorkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia dan komitmen berterusan mengurangkan lemak trans yang dihasilkannya di dalam semua minyak syarikat.
Beliau berkata, langkah itu sejajar dengan kejayaan PepsiCo mengurangkan iTFA dalam makanan bagi memenuhi standard yang sama.
Di Malaysia, Cargill berinteraksi dengan pihak berkepentingan industri dan kerajaan untuk meningkatkan kesedaran tentang amalan terbaik WHO sambil berkongsi pengalaman dan kepakaran dalam perumusan semula iTFA. – UTUSAN










