PEMBANGUNAN infrastruktur dan ekonomi di Lembah Klang mendorong kepada peningkatan pembangunan berorientasikan transit (TOD).
Permintaan untuk hartanah di sekitar hab pengangkutan awam utama, seperti Transit Aliran Ringan (LRT) dan Transit Aliran Massa (MRT) turut melonjak terutamanya dalam kalangan golongan muda bagi memudahkan perjalanan harian mereka.
TOD menggalakkan pembangunan bercampur di sekitar sistem transit awam khususnya, mengelompokkan perumahan, pekerjaan, sekolah, ruang komersial, perkhidmatan kesihatan dan kemudahan dalam jarak dekat stesen transit.
Pada minggu ini, RINGGIT ingin berkongsi manfaat kepada pemilik atau penyewa yang memilih TOD sebagai kediaman pilihan mereka.
- Mengurangkan kesesakan lalu lintas
Jenis pembangunan ini menggalakkan penghuninya untuk menggunakan pengangkutan awam kerana lokasinya yang strategik iaitu berhampiran dengan pengangkutan awam seperti stesen LRT dan MRT.
Ini secara tidak langsung dapat mengurangkan atau mengelakkan kesesakan lalu lintas ketika mahu pergi atau pulang dari tempat kerja.
- Akses mudah kepada kemudahan asas
Lokasinya yang berada berada berhampiran dengan transit pengangkutan awam memudahkan penghuninya untuk mendapat akses ke kemudahan asas seperti ke sekolah, klinik dan sebagainya.
Oleh kerana ia juga adalah pembangunan bercampur, penduduk boleh pergi ke kedai atau pasar raya dengan hanya berjalan kaki.
- Memenuhi gaya hidup aktif
TOD dibangunkan dengan kemudahan asas yang sesuai dengan gaya hidup aktif seperti gim dan tempat rekreasi dalam satu kawasan.
Pembangunan bercampur ini juga mempunyai tempat seperti cafe untuk penduduk terutamanya yang bekerja secara ‘remote’ untuk menggunakan fasiliti yang ada sambil menikmati secawan kopi semasa bekerja.
Oleh itu, jenis pembangunan ini amat digemari oleh golongan muda.
- Mengurangkan pelepasan karbon.
Kemudahan pengangkutan awam yang dekat dengan rumah mendorong lebih ramai menggunakannya, sekali gus membantu mengurangkan pelepasan korbon di udara.
Orang ramai lebih selesa berjalan, menjadikan kepada pelepasan gas rumah hijau yang lebih rendah, pencemaran udara yang lebih rendah dan penggunaan tenaga.
Justeru, mewujudkan corak struktur bandar yang lebih mampan.-UTUSAN










