Bursa Malaysia dibuka rendah berikutan penjualan di Wall Street

Bursa Malaysia dibuka rendah berikutan penjualan di Wall Street

BURSA Malaysia
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bursa Malaysia dibuka lebih rendah pagi ini, didorong oleh prestasi semalaman di Wall Street yang merosot berikutan bacaan inflasi pengguna AS melebihi jangkaan dan meningkatkan ketidaktentuan mengenai pemotongan awal kadar faedah.

Memetik laporan Bernama, pada pukul 9.05 pagi, indeks FBM KLCI susut 3.46 mata kepada 1,527.91 daripada penutup semalam pada 1,531.37.

Indeks barometer dibuka 3.58 mata lebih rendah pada 1,527.79.

Di pasaran yang lebih luas, kaunter rugi mengatasi untung pada 238 berbanding 67, manakala 208 kaunter tidak berubah, 1,787 tidak diniagakan dan 10 yang lain digantung.

Jumlah dagangan berjumlah 128.9 juta unit bernilai RM46.44 juta.

Wall Street jatuh berikutan bacaan inflasi pengguna yang lebih tinggi daripada jangkaan untuk Januari, meningkatkan ketidaktentuan pemotongan awal kadar faedah di AS.

Purata Perindustrian Dow Jones turun 1.35 peratus untuk berakhir pada 38,272.75, Nasdaq susut 1.80 peratus ditutup pada 15,655.60, dan S&P 500 susut 1.37 peratus kepada 4,953.17.

Ketua Penyelidikan Rakuten Trade, Kenny Yee berkata, KLCI melonjak melepasi paras 1,520 mata dengan mudah kerana ia ditutup melepasi paras 1,530 semalam, disebabkan pembelian berterusan saham mewah oleh dana asing.

“Walaupun volum harian kekal rendah, kami percaya jika pengumpulan saham mewah itu dikekalkan, kecairan yang bertambah baik akan mengalir ke dalam jumlah yang lebih kecil, sekali gus menarik peruncit kembali beraksi,” katanya.

Katanya, indeks utama dijangka berlegar dalam julat 1,525 hingga 1,535 mata hari ini kerana sentimen mungkin bertukar berhati-hati.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Malayan Banking Bhd. (Maybank) susut empat sen kepada RM9.40 sesaham, Public Bank Bhd. susut satu sen kepada RM4.39. CIMB Group Holdings Bhd. pula turun lima sen kepada RM6.29, Tenaga Nasional Bhd. susut empat sen kepada RM11.04, dan Petronas Chemicals Group Bhd. susut satu sen kepada RM6.83.

Bagi saham aktif, Bintai Kinden Corp Bhd. tidak berubah pada 7.5 sen, Widad Group Bhd. turun setengah sen pada 12.5 sen, YNH Property Bhd menambah satu sen kepada 68.5 sen, dan waran Tanco Holdings Bhd tidak berubah pada 29.5 sen. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×