Bilangan penganggur terus menurun

Bilangan penganggur terus menurun

RAMAI rakyat Malaysia menyertai sektor pekerjaan gig sama ada sebagai pekerjaan utama mahupun untuk menambah pendapatan harian. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bilangan penganggur menurun kepada 567,800 orang pada Disember 2023, dengan kadar pengangguran 3.3 peratus, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, trend guna tenaga yang positif pada Disember 2023 mencerminkan asas ekonomi negara yang stabil, didorong oleh pertumbuhan berterusan dalam aktiviti ekonomi dan sosial.

Kata beliau, perkembangan itu mengakibatkan kedudukan tenaga buruh terus berkembang sepanjang bulan tersebut, de­ngan jumlah penduduk bekerja meningkat, manakala bilangan penganggur menurun.

“Oleh itu, bilangan tenaga buruh kekal meningkat pada Disember 2023, dengan pertambahan sebanyak 0.1 peratus bulan ke bulan kepada 17.03 juta orang (November 2023: 17.0 juta orang), merekodkan kadar penyertaan tenaga buruh (KPTB) yang lebih tinggi iaitu pada 70.2 peratus (November 2023: 70.1 peratus),” katanya dalam laporan Statistik Tenaga Buruh Malaysia, Disember dan Suku Tahun Keempat 2023.

Mohd. Uzir menjelaskan, bilangan penduduk bekerja terus berada pada trend positif, de­ngan peningkatan bulan ke bulan sebanyak 0.2 peratus merekodkan 16.46 juta orang berbanding bulan sebelumnya (November 2023: 16.43 juta orang).

Sementara itu, bilangan penganggur terus menurun, de­ngan penurunan sebanyak 0.2 peratus mencatatkan 567,800 orang (November 2023: 569,200 orang).

“Kadar pengangguran pada bulan Disember 2023 kekal pada 3.3 peratus seperti pada bulan sebelumnya,” kata beliau.

Mengulas lanjut mengenai guna tenaga, Ketua Perangka­wan berkata, jumlah pendu­duk bekerja pada Disember 2023 terutamanya adalah terdiri daripada kategori pekerja, iaitu seba­nyak 75.2 peratus, peningkatan 0.1 peratus kepada 12.38 juta, berbanding November 12.37 juta orang.

Begitu juga, kategori bekerja sendiri turut mencatatkan pe­ningkatan sebanyak 0.3 peratus kepada 3.0 juta orang daripada 2.99 juta orang pada November 2023.

Mengulas lanjut mengenai pengangguran, Mohd. Uzir berkata, sebanyak 79.9 peratus daripada jumlah penganggur adalah penganggur aktif atau mereka yang bersedia untuk bekerja dan aktif mencari pekerjaan.

Kategori itu berkurang se­ba­nyak 0.2 peratus kepada 453,600 orang (November 2023: 454,500 orang).

Dalam kalangan penganggur aktif, mereka yang menganggur kurang daripada tiga bulan me­rangkumi 61.8 peratus, manakala mereka yang berada dalam pengangguran jangka panjang melebihi setahun adalah seba­nyak 6.4 peratus.

“Pada Disember 2023, kadar pengangguran bagi belia berumur 15 hingga 24 tahun kekal pada 10.6 peratus, dengan 307,200 penganggur (November 2023: 10.6 peratus; 308,500 orang). Manakala, kadar pengangguran dalam kalangan belia berumur 15 hingga 30 tahun turun sebanyak 0.1 mata peratus kepada 6.4 peratus, mencatatkan 432,100 penganggur (November 2023: 6.5 peratus; 432,000 orang),” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×