PETALING JAYA: Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) mengingatkan orang ramai sentiasa melindungi butiran peribadi dan akaun mereka daripada penipuan (scam) melibatkan pancingan data (phishing) dan perisian hasad (walware).
Menurut Bank Islam, pancingan data adalah amalan menghantar e-mel atau mesej secara dalam talian daripada pihak yang menyamar sebagai syarikat yang sah agar pengguna mendedahkan maklumat peribadi seperti kata laluan, nombor akaun, kad kredit dan debit serta pelbagai butiran penting lain.
Sementara perisian hasad pula direka khas untuk mendapatkan maklumat, merisik, mengawal dan menyerang peranti peribadi pengguna seperti telefon dan jam pintar, tablet serta komputer.
Katanya, penjenayah akan memasukkan perisian hasad ke dalam peranti menggunakan aplikasi yang mereka bangunkan. Kebiasaannya ia kelihatan seumpama aplikasi yang sebenar bagi mengaburi pertimbangan pelanggan.
“Pihak tidak bertanggungjawab akan menggunakan maklumat sulit yang telah dicuri untuk mengubah tetapan peranti serta mendapat akses aplikasi pengguna termasuk terhadap platform penting pengguna termasuk perbankan dan e-mel mereka.
“Bank Islam menegaskan bahawa tiada pihak ketiga dilantik untuk mendapatkan maklumat dan butiran akaun pelanggan.
“Sebarang perubahan pada butiran dan akaun perbankan pelanggan hanya boleh dilakukan menerusi platform rasmi Bank Islam termasuk Perbankan Internet Bank Islam (www.bankislam.biz), aplikasi mudah alih GO by Bank Islam atau GO Biz by
Bank Islam serta Be U by Bank Islam,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Bank Islam, sebarang muat turun perlu dilakukan daripada gedung aplikasi rasmi seperti Google Play Store dan Apple Apps Store.
Pelanggan katanya, diseru agar tidak menyimpan maklumat nama pengguna dan kata laluan perbankan dalam pelayar (browser) laman sesawang mereka.
Tambahnya, pelanggan boleh mengamalkan kawalan kendiri untuk melindungi diri daripada pancingan
data dan perisian hasad dengan mengambil langkah-langkah berikut:
• Tidak mendedahkan butiran peribadi dan akaun serta kata laluan mereka dengan pihak ketiga.
• Sentiasa berwaspada apabila terdapat aplikasi yang meminta kebenaran akses.
• Jangan klik atau memuat turun teks atau e-mel yang mengandungi pautan yang tidak dikenali atau sah.
• Gunakan fungsi pengesahan dua faktor (two factor authentication) bagi memastikan keselamatan aplikasi.
• Memuat turun dan mengemaskini aplikasi antivirus bagi memastikan peranti dilindungi dari virus yang boleh mengakses aplikasi dan perisian.
• Menukar kata laluan secara berkala bagi meningkatkan perlindungan terhadap akses aplikasi dan perisian.
• Memantau akaun dan penyata bagi mengesan sebarang aktiviti perbankan yang mencuriga atau tidak disahkan.
“Bank Islam mengambil langkah proaktif dalam memastikan keselamatan akaun deposit dan transaksi pelanggan yang selamat, di samping melaksanakan pengawasan keselamatan dan pengawalseliaan yang mematuhi standard industri,” katanya. – UTUSAN










