PETALING JAYA: Tokku Leko Sdn. Bhd. akan menembusi pasaran luar negara tahun ini dan telah membuat pelbagai persediaan serta keperluan untuk mengeksport produk makanan berasaskan ikan itu dengan sijil halal yang dimilikinya.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengasas Bersama Tokku Leko Sdn. Bhd., Nurul Hana Nordin berkata, syarikat bersedia membawa produk mereka menembusi pasaran China tidak lama lagi.
“Kami dalam perbincangan dengan pihak di sana untuk membawa produk Tokku ke pasaran lebih besar dan semoga hasilnya akan baik,” katanya ketika dihubungi.
Jelasnya, produk Tokku Leko telah mendapat pengiktirafan sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pada 2021.
Menurut bekas graduan ijazah sarjana muda dalam bidang Sains (Matematik Komputasi) dari Universiti Malaysia Terengganu (UMT) itu, produk Tokku Leko berjaya menawan 40 outlet pasar raya Bataras di Sabah selepas memperoleh sijil halal.
“Kini, produk kami berada di pasar raya besar seperti Giant Hypermarket, Mydin, St Rosyam Mart, stesen minyak Petronas seluruh Malaysia dan banyak lagi akan menyusul kemudian,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, sijil halal sememangnya penting untuk mengembangkan perniagaan berasaskan makanan itu walaupun pada awalnya mempunyai cabaran.
Hana berkata, beliau perlu memastikan susun atur produksi kilang dan mengeluarkan kos untuk menepati ketetapan yang dikeluarkan oleh Jakim untuk memproses produk makanannya.
“Sijil halal adalah jalan yang akan membuktikan produk dihasilkan dijamin suci dan berkualiti memandangkan produk tersebut telah menjalani proses audit diiktiraf oleh kerajaan,” katanya.
Tambahnya, Tokku Leko kini mempunyai 200 pekerja dan 10 jenis produk berasaskan ikan seperti isi ikan, keropok lekor, keropok kering dan keropok segera.-UTUSAN










