KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) telah membatalkan 500 koperasi tidak aktif sepanjang tahun lalu selepas pengurusan gagal dikesan.
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk R. Ramanan menjelaskan, tindakan tersebut bukan penganiayaan, tetapi disebabkan koperasi terbabit mengalami masalah dan gagal dihubungi.
“Antara faktornya adalah kita tidak dapat mengesan pengurusan kanan termasuk Pengerusi dan Setiausaha Agung koperasi dan alamat koperasi yang bertukar.
“Di sebalik itu, sebanyak 1,001 koperasi baharu telah ditubuhkan dengan 92 koperasi dibaik pulih,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Menara SKM di sini, semalam.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif SKM, Rusli Jaafar.
Sehingga 31 Disember 2023, terdapat sebanyak 15,809 koperasi berdaftar di bawah SKM dengan jumlah keanggotaan seramai 7.31 juta orang.
Bagi tahun 2024, SKM telah menyediakan Tabung Modal Pusingan sebanyak RM100 juta meliputi lapan jenis pembiayaan yang ditawarkan.
“Ia melibatkan pembiayaan biasa, pembiayaan khas tanpa cagaran (PKTC), pembiayaan koperasi mikro (MicCoopFi-1), pembiayaan permulaan (SuFi-1), pembiayaan Lestari (LesFi-1), pembiayaan 100 koperasi terbaik (Best100Fi-1), Good Pay Master Financing (GPMFi-1) dan pembiayaan Agromakanan (AFi),” katanya.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan, SKM turut memperuntukkan sejumlah RM11.75 juta bagi melaksanakan program pembangunan untuk manfaat koperasi di Malaysia.
“Jumlah tersebut merangkumi program pembangunan perniagaan sebanyak RM6.75 juta, program pemerkasaan rantaian bekalan koperasi sebanyak RM2 juta dan program penggalakan koperasi sebanyak Social Enterprise (SE) sebanyak RM3 juta,” katanya.-UTUSAN










