PETALING JAYA: Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) mendakwa dua individu di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini dengan 11 kesalahan pengubahan wang haram membabitkan lebih RM119 juta.
Dua individu terbabit ialah Ang Jen Chuen (Dexter Ang), bekas Pengarah Pixelvest Sdn. Bhd. (Pixelvest) dan Syaiful Riezal Ahmad, bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Infinity Trustee Berhad (Infinity).
Menurut SC, kedua-duanya didakwa menerima hasil daripada aktiviti yang menyalahi undang-undang di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Wang Haram Dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFPUAA) 2001.
“Dexter Ang dan Syaiful Riezal masing-masing menghadapi lapan dan tiga pertuduhan,” katanya dalam kenyataan.
SC berkata, tertuduh didakwa melakukan kesalahan antara 1 Disember 2020 dan 9 Januari 2023 di Kuala Lumpur dan Selangor.
Kedua-dua tertuduh minta dibicarakan atas pertuduhan masing-masing, katanya.
Tambahnya, Hakim Mahkamah Sesyen Tuan Azrul Darus membenarkan jaminan sebanyak RM8.01 juta dengan dua penjamin kepada Dexter Ang dan RM100,000 dengan seorang penjamin kepada Syaiful Riezal.
“Mereka juga diperintahkan untuk menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melapor kepada SC pada setiap bulan sehingga selesai perbicaraan,” jelasnya.
Menurut SC, jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara sehingga 15 tahun dan boleh dikenakan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti yang menyalahi undang-undang pada masa kesalahan itu dilakukan atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi. – UTUSAN










