PETALING JAYA: Pakar ekonomi menjangkakan ringgit bakal diniagakan dalam mod berhati-hati pada minggu ini dengan unjuran sekitar RM4.71 hingga RM4.72 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Ekonomi dan Analisis Pasaran dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, ia susulan pasaran seperti tidak pasti bila pihak Rizab Persekutuan (Fed) AS akan mula mengurangkan kadar faedah.
“Mesej dari Fed seolah-olah ia berlaku pada akhir tahun ini dan data ekonomi AS yang masih lagi kukuh menunjukkan tiada keperluan mendesak untuk mengurangkan kadar faedah,” katanya ketika dihubungi.
Ringgit meningkat kepada 4.7140/7190 pada Jumaat berbanding dolar AS daripada penutupan Khamis 4.7165/7215.
Mengenai Bursa Malaysia pula, beliau berpandangan, indeks FBMKLCI dijangka berlegar dalam julat antara 1,480 hingga 1,490 minggu ini.
“Ia disebabkan sentimen pasaran yang berhati-hati terhadap jangkaan penurunan kadar faedah di AS serta kebimbangan terhadap prospek ekonomi China serta konflik di Laut Merah dan Asia Barat,” katanya.
Dalam pada itu, Penganalisis ekonomi dari Universiti Kuala Lumpur, Profesor Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid pula berpandangan, nilai ringgit dan prestasi Bursa Malaysia dijangka bergerak dengan tindakan Fed sama ada akan menurunkan kadar faedah atau sebaliknya dalam masa terdekat iaitu secepatnya pada Mac nanti.
“Sekiranya kadar faedah mula dipotong seawal Mac, maka nilai ringgit dijangka mengukuh berbanding dolar AS. Ia juga seiring dengan mata wang utama dunia lain yang dijangka kembali mengukuh berbanding dolar AS yang dijangka menurun.
“Kadar faedah bon 10 tahun AS juga sudah mula menurun kepada 4.159 peratus sekarang daripada 4.9 peratus tiga bulan yang lalu menunjukkan jangkaan sederhana dan panjang bahawa dolar AS akan menurun, namun, untuk jangka pendek masih tidak menentu,” jelas beliau.
Mengulas lanjut, Aimi Zulhazmi berkata, selain itu krisis geopolitik seperti konflik Isreal-Palestin yang kini melarat ke Laut Merah dan Terusan Suez menyebabkan pengurus dana beralih kepada mata wang dolar AS.
“Hal ini kerana, dolar diandaikan akan menjadi kukuh setiap kali ada krisis ketenteraan dunia. Justeru, ramai pengurus dana beralih kepada membeli dan menyimpan pelaburan mereka dalam dolar AS,” katanya.
Bagi Bursa Malaysia pula, beliau menjangka indeks akan terus berlegar-legar antara 1,450 hingga 1,490 mata minggu ini.
“Prestasi Bursa Malaysia dalam masa terdekat mengalami kesan serupa dengan mata wang ringgit yang dipengaruhi oleh pasaran modal dunia yang dipandu oleh tindakan Fed serta krisis geopolitik dunia.
“Bagi jangka pendek, Bursa akan menghadapi turun naik yang lebih ‘volatile’ kerana faktor semasa. Bagaimanapun, untuk jangka sederhana iaitu pada bahagian kedua tahun 2024, dijangka lebih baik, sekiranya tiada krisis geopolitik yang baharu mahupun kekacauan kepada pasaran kewangan global,” katanya.-UTUSAN










