PETALING JAYA: Pengeluar kereta nasional, Proton mencatatkan prestasi jualan terbaiknya sejak tahun 2012 apabila mencapai pertumbuhan jualan 154,611 unit untuk pasaran domestik dan eksport pada 2023.
Proton dalam satu kenyataan berkata, pencapaian jualan tahun lalu itu adalah rekod pertumbuhan bagi lima tahun berturut-turut, mengatasi rekod puncaknya iaitu 141,432 unit yang dijual pada 2022.
“Jualan 2023 mencatat peningkatan sebanyak 9.3 peratus berbanding 2022. Penguasaan pasaran keseluruhan syarikat dijangka sebanyak 19.4 peratus dengan anggaran jumlah keseluruhan industri (TIV) 794,948 unit.
“Hasilnya, Proton turut menamatkan 2023 di tempat kedua dalam jualan keseluruhan, pencapaian tahun kelima berturut-turut dalam mengekalkan kedudukannya,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.
Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Dr. Li Chunrong berkata, 2023 merupakan satu lagi tahun yang mencatat rekod bagi industri automotif kerana jumlah jualan melonjak sebanyak 10.3 peratus berbanding volum tertinggi sebelumnya yang dicapai hanya dua belas bulan sebelumnya.
“Faktor seperti pemenuhan pesanan untuk kereta bebas cukai sehingga akhir Mac tidak syak lagi mendorong peningkatan volum pada suku pertama tahun itu, tetapi ia juga merupakan tahun yang aktif untuk pelancaran kereta dengan gangguan minimum yang disebabkan oleh kekurangan alat ganti.
“Kejayaan ini adalah bukti komitmen kami untuk menyampaikan lebih daripada sekadar kenderaan mampu milik kerana kami juga menekankan reka bentuk yang bergaya, teknologi canggih dan komitmen yang kuat terhadap keselamatan dalam semua model Proton.
“Menjelang 2024, kami yakin akan mengekalkan momentum ini, disokong oleh pengenalan model baharu kami, S70,” ujarnya.
Proton berkata, pelancaran barisan tiga model kenderaan utiliti sukan (SUV) Proton yang terdiri daripada X50, X70 dan X90 telah menambah lebih 200,000 unit kepada jumlah jualan sejak Disember 2018, namun peningkatan semula permintaan untuk model PIES (Persona, Iriz, Exora dan Saga) telah memacu pertumbuhan jualan pada 2023.
“Proton Saga memulakan dan mengakhiri tahun lalu sebagai model Proton terlaris dengan mencatatkan jualan 70,184 unit, prestasi terbaiknya sejak 2012, sekali gus meletakkannya sebagai kenderaan keempat terlaris di Malaysia,” jelasnya.-UTUSAN










