PETALING JAYA: Squarelet, peneraju sistem e-dagang dan pengurusan ejen, melancarkan inisiatif New Year Booster Squarelet untuk memperkasa perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dalam memacu pertumbuhan perniagaan mereka.
Syarikat itu berkata, selaras dengan inisiatif-inisiatif perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan PMKS yang diumumkan dalam Belanjawan 2024, pelancaran Inisiatif New Year Booster Squarelet adalah tepat pada waktunya.
“Ini kerana, ia menyediakan jaminan pertumbuhan dan kejayaan yang luar biasa tahun ini. Sebagai peneraju untuk PMKS, Squarelet diiktiraf sebagai rakan baik bagi perniagaan yang berhasrat untuk berkembang maju dengan impak positif pada tahun ini,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, Perunding Operasi Squarelet, Naznin Onn berkata, inisiatif New Year Booster adalah bukti komitmen Squarelet untuk memperkasakan PMKS di Malaysia.
“Kami yakin, dengan memberikan rangsangan strategik pada permulaan tahun, kami mampu menyumbang kepada kejayaan dan pertumbuhan perniagaan tempatan, sekali gus mengukuhkan kedudukan kami sebagai rakan baik dalam kejayaan perniagaan mereka,” katanya.
Katanya, PMKS di Malaysia masih berdepan pelbagai cabaran seperti penggunaan teknologi digital yang rendah, pembiayaan kewangan yang terhad dan peraturan yang rumit.
Cabaran itu menyebabkan usahawan menghadapi kesukaran untuk mengembangkan perniagaan dan kekal pada tahap yang sama.
“Malah, kekurangan literasi digital ini juga memberi halangan untuk mereka terus berdaya saing. Justeru, sokongan bersasar dan langkah penetapan dasar adalah penting untuk memupuk pertumbuhan mampan dan ketahanan mereka dalam ekonomi,” katanya.
Bagi memperkasakan PMKS, Squarelet telah menawarkan ganjaran istimewa kepada pengguna PMKS baharu, iaitu langganan pakej HQ percuma selama sebulan bernilai RM998 untuk perniagaan yang mendaftar antara Januari hingga April 2024.
Tawaran eksklusif turut diperluas kepada perniagaan yang berjaya meraih jualan RM50,000 dalam tiga bulan pertama. Ia merangkumi program Success Accelerator, di mana Pasukan Perunding Operasi akan melawat ke premis pelanggan untuk menyediakan latihan kepada kakitangan mereka.
Inisiatif itu bertujuan menyediakan permulaan yang baik untuk erniagaan, sekali gus mencerminkan komitmen Squarelet terhadap kejayaan PMKS.-UTUSAN










