PETALING JAYA: Biro Konvensyen dan Pameran Malaysia (MyCEB) menjalinkan kerjasama melalui pemeteraian Memorandum Kerjasama (MoC) dengan Ejen Pelancongan Asosia Indonesia (ASTINDO) bagi usaha pemasaran dan promosi bersama untuk sektor acara perniagaan.
Ketua Pegawai Eksekutif MyCEB, Azman Tambi Chik berkata, objektif kerjasama tersebut adalah untuk memberi manfaat kepada Malaysia dan Indonesia, termasuk pemulihan industri acara perniagaan, memudahkan pertukaran pengetahuan dan meneroka peluang kerjasama perniagaan lain.
“Perjanjian itu juga dijangka membangunkan petunjuk melalui pertukaran maklumat risikan pasaran mengenai kempen, inisiatif, program dan projek,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.
Sementara itu, Presiden ASTINDO, Pauline Suharno berkata, MoC itu menandakan langkah strategik ke arah merancakkan semula industri acara perniagaan.
“Kami berharap dapat menjana petunjuk kualiti dan menyasarkan untuk mewujudkan ekosistem dinamik dan berdaya tahan yang akan memacu pertumbuhan industri di kedua-dua rantau,” katanya.
Selain itu, Malaysia juga mengambil peluang melibatkan diri dalam dialog konstruktif dengan Timbalan Menteri Produk Pelancongan dan Acara Indonesia, Drs. Vinsensius Jemadu.
Semasa mesyuarat eksklusif itu, kementerian tersebut menyatakan sokongan padu terhadap usaha sama dalam membina komuniti Acara Perniagaan ASEAN (BE) yang teguh antara Indonesia dan Malaysia.-UTUSAN










