MITI selaras usaha tangani isu tenaga kerja mahir

MITI selaras usaha tangani isu tenaga kerja mahir

TENGKU Zafrul Tengku Abdul Aziz (dua, kiri) bercakap pada sidang akhbar selepas Sesi Dialog Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) 2024 di Menara MITI, Kuala Lumpur hari ini. - UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) akan bekerjasama dengan dua kementerian dan Majlis TVET Negara dalam usaha menangani isu kekurangan tenaga mahir dalam bidang pembuatan.

Menterinya, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, ia melibatkan Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Pengajian Tinggi.

“Saya telah membangkitkan isu ini dengan kedua-dua Menteri dan mereka telah bersetuju untuk mewujudkan jawatankuasa untuk membincangkan isu ini dan kita juga telah bekerjasama dengan Majlis TVET Negara untuk mempelbagaikan peringkat bakat kemahiran bersama kementerian terlibat.

“Sebanyak 50,000 jurutera yang diperlukan setiap tahun namun, Malaysia hanya mampu mengeluarkan 5,000 jurutera graduan daripada universiti tempatan. Ini tidak termasuk graduan yang melanjutkan pelajaran di luar negara,” katanya kepada pemberita selepas Dialog MITI di sini.

Jelas beliau, MITI juga akan berbincang dengan pemain industri pada peringkat awal jawatankuasa tersebut.

“Mereka (pemain industri) perlu terlibat dalam perbincangan ini. Kita mengalu-alukan kerjasama dengan dua kementerian terlibat bagi membolehkan isu kekurangan bakat mahir dapat diselesaikan,” katanya.

Dialog MITI 2024 telah dihadiri oleh hampir 300 peserta terdiri daripada wakil 103 persatuan industri, dewan perniagaan dan majlis perniagaan serta 24 kementerian serta agensi termasuk MITI.

Dialog tersebut menjadi pemudah cara pelbagai pertukaran idea dan perbincangan yang dinamik mengenai strategi, penyelesaian dan pelaksanaan yang lebih kukuh untuk meningkatkan lagi ekosistem industri, perdagangan dan pelaburan Malaysia, berdasarkan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (New Industrial Master Plan 2030 -NIMP 2030) sebagai dasar yang menyeluruh.

Tengku Zafrul dalam ucapan majlis penutup telah mengariskan beberapa isu utama seperti mempersiapkan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) terhadap pendedahan ESG melalui Rangka Kerja ESG Industri Kebangsaan (i-ESG), menangani jurang bakat dalam industri pembuatan, menarik pelaburan langsung asing (FDI) yang disasarkan dan memastikan industri menerapkan penggunaan teknologi baharu secepat mungkin.

Tengku Zafrul turut menegaskan, sesuatu dasar hanyalah berkesan jika pelaksanaannya dijalankan dengan betul.

Katanya, pelaksanaan NIMP 2030 penting bagi Malaysia untuk terus meningkatkan daya saing landskap perniagaan dan pelaburan negara.

“Dalam merealisasikan inisiatif ini, MITI pada tahun lepas telah mengumumkan Kad Laporan Suku Tahunannya, di mana MITI telah berkongsi kemajuan pelbagai dasar di bawah bidang kuasa MITI.

“MITI kini sedang membangunkan papan pemuka (dashboard) untuk NIMP dan indikator utama lain untuk semua dasar di bawah MITI untuk memudahkan pihak industri dan orang awam memantau kemajuan pelaksanaan dasar tersebut,” katanya.

Jelas beliau lagi, dalam tempoh pelaksanan dasar, MITI juga perlu berani untuk menyemak sasaran dan menambah baik dasar tersebut jika perlu.

MITI terlebih dahulu telah menerima serahan sebanyak 60 memorandum, merangkumi 32 kategori dan sejumlah 163 isu.  Ini mencerminkan minat dan komitmen yang mendalam dari pihak industri dan agensi untuk menyumbang kepada penambahbaikan dan pelaksanaan dasar berkaitan industri untuk memajukan lanskap pelaburan dan perdagangan negara. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN