PETALING JAYA: Margin industri pembinaan dijangka bertambah baik pada 2024, apabila kontrak lama dengan margin rendah menyusut dan kontrak baharu dengan margin lebih normal mula menyumbang, menurut Kenanga Research.
Menurut firma penyelidikan itu, industri bersedia untuk pemulihan margin kerana kontrak yang baru dijamin telah mencerminkan inflasi kos.
Katanya, selain itu, menjadi semakin biasa bagi kontrak untuk membawa klausa kenaikan harga untuk melindungi margin kontraktor selepas wabak.
Firma penyelidikan itu mengekalkan penilaian “overweight” untuk sektor pembinaan.
“Selepas reda tahun lepas, kami menjangkakan gelombang baharu projek infrastruktur awam akhirnya mencapai pasaran pada 2024.
“Walaupun perbelanjaan pembangunan kasar RM90 bilion dalam Belanjawan 2024 adalah lebih rendah daripada RM97 bilion dalam Belanjawan 2023, kerajaan boleh memanfaatkan DanaInfra Nasional Bhd. untuk membiayai projek awam berskala besar di luar kunci kira-kira,” katanya dalam nota kajian.
Projek yang berada dalam senarai keutamaan firma itu termasuk Projek Mass Rapid Transit (MRT3) atau MRT Circle Line bernilai RM45 bilion, yang akan menyediakan sambungan kepada MRT sedia ada, Transit Aliran Ringan (LRT), Monorel dan laluan kereta api melalui stesen pertukaran, serta LRT Bayan Lepas untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas yang kronik di Pulau Pinang.
“Kami percaya, secara realistik, MRT3 berkemungkinan besar akan bermula pada separuh kedua 2024,” katanya.
Firma penyelidikan itu juga menyatakan bahawa kerajaan komited untuk mempercepatkan projek yang sedang dijalankan di Sabah dan Sarawak, seperti Lebuhraya Pan Borneo dan Projek Lebuhraya Sarawak-Sabah Link Road (SSLR).
Mengenai pembinaan sektor swasta, ia berkata, sektor itu akan kekal bertenaga, disokong oleh pelaburan besar-besaran dalam besi atau logam (faundri) semikonduktor baharu dan pusat data.
“Malaysia semakin mendapat tarikan dari segi destinasi untuk pelaburan pusat data, seperti yang dibuktikan oleh Tenaga Nasional Bhd. (TNB) telah menandatangani perjanjian bekalan elektrik dengan lapan pusat data, dengan kapasiti keseluruhan 2,000 megawatt.
“Projek-projek faundri semikonduktor dan pusat data ini berjulat antara RM1 bilion hingga RM1.5 bilion setiap satu, dan lazimnya berdasarkan landasan pantas, yang bermaksud margin yang lebih baik,” katanya.
Kenanga menamakan Gamuda Bhd., IJM Corp Bhd. dan Sunway Construction Group Bhd. sebagai pilihan utama untuk sektor berkenaan.-UTUSAN










