Kopiesatu semakin meniti di bibir peminat kopi

Kopiesatu semakin meniti di bibir peminat kopi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEWUJUDAN jenama kafe kopi antarabangsa khususnya dari Barat bukan perkara baharu di negara ini mahu pun di seantero dunia.

Malaysia sendiri sebagai sebuah negara yang berada di atas garisan Khatulistiwa mempunyai muka bumi dan cuaca yang sesuai untuk pokok kopi ditanam dan menjadi minuman harian.

Kerajaan melalui Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) pada awal tahun 2000 mengambil inisiatif mewujudkan produk kopi de­ngan jenama Kopiesatu yang kini semakin dikenali.

Objektif utama projek Kopie­satu adalah untuk menjadi pe­neraju bagi usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) di dalam industri berkaitan kopi.

Sejak 2001 hingga kini ia kekal sebagai produk IKS yang mempunyai kelompok penggemar tersendiri walaupun sudah dua dekad ia berada dalam pasaran.

Menurut Pengurus Pusat Memproses Makanan FAMA (PMMF) Puchong Jaya, S. Murali produk jenama Kopiesatu menghadapi cabaran untuk terus kekal di pasaran disebabkan kemunculan pelbagai jenama kopi dengan pelbagai tarikan dari sudut promosi bertaraf antarabangsa.

“Kita mewujudkan produk Kopiesatu dengan mendapatkan bekalan biji kopi terbaik dari Ranau Sabah.

“Pemilihan biji kopi dari daerah tersebut bukan usaha mudah kerana bahan mentah terbaik sentiasa menjadi buruan pengeluar produk kopi seluruh pelusuk dunia,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di pejabat PMMF Puchong Jaya baru-baru ini.

Murali berkata, produk Kopie­satu diproses di PMMF dengan mendapat bekalan kopi dari Sabah sejak awal penge­luarannya.

Katanya lagi, kopi dari kawasan tersebut menjadi pilihan pihaknya hingga ke hari ini untuk diproses sebagai produk Kopiesatu kerana mempunyai perisa tersendiri.

“Apa yang saya ingin tekankan, kewujudan Kopiesatu adalah demi memenuhi pemintaan di dalam usaha memajukan industri kopi tempatan dan juga membantu mempromosikan industri asas tani petani seluruh negara tidak kira di Semenanjung mahu pun Malaysia Timur.

“Kita patut berbangga kerana mampu menghasilkan jenama kopi yang mampu menyaingi jenama antarabangsa yang sudah sedia terkenal berpuluh tahun di pasaran,” katanya.

S. Murali (kanan) dan kakitangan Kopiesatu memegang serbuk kopi yang dihasilkan pihak PMMF.

Jelas Murali lagi, rakyat negara ini perlu bangga menikmati produk tempatan dan pihak­nya terpanggil untuk memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai kopi jenama Malaysia yang berkualiti tinggi.

Pada dasarnya kata Murali, jenama Kopiesatu ketika di peringkat awal, pihaknya turut mengkaji secara mendalam minat rakyat kepada minum ikonik pelbagai golongan ma­syarakat ini.

“Kita turut membuat jangkaan atau unjuran penerimaan daripada orang ramai terhadap produk jenama Kopiesatu.

“Ia bertujuan untuk mencapai sasaran yang telah ditetapkan seperti memberi penjenamaan baharu kepada industri kopi tempatan. Bukan mudah untuk meyakinkan pengguna untuk memilih produk yang sudah popular di peringkat antarabangsa,” ujar­nya optimis.

Katanya lagi, bukan mudah juga menjual satu jenama yang sinonim dengan masyarakat yang menganggap kopi bukan sebagai satu minuman tetapi sebahagian budaya mereka.

Istilah ‘mengopi’ atau ‘me­ngeteh’ jelasnya, menggambarkan kopi adalah agen penyatuan masyarakat pelbagai kaum di negara ini.

“Oleh itu produk Kopiesatu sama ada dalam bentuk serbuk dalam paket perlu mudah diperolehi oleh semua peringkat de­ngan harga yang berpatutan.

“Kita juga menyediakan peluang pekerjaan kepada orang ramai untuk bersama kami membangunkan jenama Kopie­satu di outlet mahu pun menerus perniagaan Food Truck.

“Kopie Satu bukan sekadar produk untuk memenuhi pasaran seperti produk kopi lain sedia ada malahan kami menyediakan platform perniagaan kepada usahawan kecil dan sederhana,” ujarnya.

Mengulas mengenai jualan Kopiesatu di outlet dan peniaga Food Truck Murali berkata, ia meningkat antara 40 hingga 50 peratus sejak dua bulan lalu disebabkan pesaing menghadapi masalah berpunca daripada masalah geopolitik dunia.

Jelasnya lagi, outlet di i-City Shah Alam menjadi tumpuan orang ramai yang mencari alternatif kopi antarabangsa yang menjadi minat mereka sebelum ini.

“Selain beroperasi secara jualan food truck di PMMF Puchong, senarai outlet kami untuk di Putrajaya ialah di Outlet Kopiesatu di Kementerian Kewangan (Blok Utara), Outlet Kopiesatu di lobi Kementerian Pertanian Dan Keterjaminan Makanan (MAFS) dan Outlet Kopiesatu di lobi Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWPKM) dan Outlet Kopiesatu Medan Selera Presint 9.

“Di Selangor kami beroperasi di Outlet Kopiesatu DOT 3 Selayang, Outlet Kopiesatu di lobi Hospital SG. Buloh dan Outlet Kopiesatu i-city Mall, manakala di Kuala Lumpur kami beroperasi di Outlet Kopiesatu lobi Kementerian Pertahanan (MINDEF). Di Perak, outlet kita terdapat di Outlet Kopiesatu RTC Gopeng dan di N.Sembilan di Institut Latihan FAMA Port Dickson,” jelasnya.

Tambahnya lagi, antara kopi yang dipasarkan pihaknya adalah Arabica, Americano dan Latte. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN