PETALING JAYA: Kenanga Investment Bank Bhd. (Kenanga) mengekalkan saranan ‘overweight’ terhadap sektor telekomunikasi dari segi perolehan hasil yang lebih stabil.
Firma penyelidikan itu juga menyifatkan pengenalan pelan Rahmah sebelum ini memberi impak kecil terhadap pendapatan dan purata hasil bagi setiap pengguna (ARPU).
Dalam nota penyelidikannya, Kenanga juga optimis secara berhati-hati bahawa perolehan hasil dan dividen sektor itu akan kekal stabil selepas pengenalan model dwirangkaian generasi kelima atau 5G.
Katanya, pilihan utama firma tersebut dalam sektor ini terdiri daripada CelcomDigi Bhd. (CDB) dan Telekom Malaysia Bhd. (TM).
“Dalam senario terburuk, kami menganggarkan pengurangan pendapatan atau jualan tahun kewangan masing-masing sebanyak RM53 juta dan RM15.8 juta untuk CDB dan Maxis Bhd. (Maxis), berikutan daripada pelan p-hailing baharu.
“Ini bermakna impak hasil tidak material (kurang daripada 0.5 peratus) untuk kedua-dua pemain industri itu pada tahun kewangan 2024,” katanya.
Firma penyelidikan berkata, pakej Rahmah untuk pekerja p-hailing membolehkan mereka melanggan pakej data khas serendah RM33 dengan kuota data sekurang-kurangnya 40 gigabit (GB).
Jelasnya, pelan Rahmah baharu itu ditawarkan oleh syarikat telekomunikasi dengan kerjasama 16 penyedia platform p-hailing yang mengambil bahagian.
“Bagi konteks lebih meluas, kami percaya bahawa tekanan harga kawal selia ke atas perkhidmatan syarikat telekomunikasi (telco) itu kekal kecil pada masa ini.
“Ini berikutan pelan diskaun bagi golongan sasaran yang kecil dilihat masih mampu diurus pada masa ini,” ujarnya.
Kenanga berkata, pemerhatiannya menunjukkan pakej Rahmah sebelum ini tidak memberi impak terhadap ARPU bagi Celcom, Digi dan Maxis.
Tambahnya, perkara tersebut dapat dilihat menerusi ARPU gabungan secara berterusan yang berdaya tahan dalam tempoh sembilan bulan bagi 2023 untuk tiga telco itu.-UTUSAN










