Kadar pengangguran November turun kepada 3.3%

Kadar pengangguran November turun kepada 3.3%

PERTAMBAHAN bilangan penduduk bekerja mengurangkan kadar pengangguran. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kadar pengangguran pada November 2023 turun kepada 3.3 peratus, kembali ke paras prapandemik dengan mencatatkan 569,200 penganggur, lapor Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin dalam kenyataan berkata, kadar pengangguran pada bulan dilaporkan turun kepada paras prapandemik berbanding 3.4 peratus yang direkodkan pada bulan sebelumnya.

Beliau berkata, peningkatan prestasi tenaga buruh negara menunjukkan pertumbuhan positif ekonomi semasa de­ngan pertambahan berterusan bilangan penduduk bekerja dan pengangguran terus menurun.

Katanya, bilangan tenaga buruh terus mencatatkan pe­ningkatan sebanyak 0.2 peratus bulan-ke-bulan kepada 17.0 juta orang berbanding Oktober 2023 sejumlah 16.97 juta orang.

“Kadar penyertaan tenaga buruh pada November 2023 kekal pada 70.1 peratus, sama seperti bulan sebelumnya,” katanya dalam kenyataan me­ngenai Statistik Tenaga Buruh Malaysia November 2023, semalam.

Jelas Mohd. Uzir, bilangan penduduk bekerja juga terus meningkat dengan pertambahan sebanyak 0.2 peratus bulan-ke-bulan, seramai 16.43 juta orang berbanding bulan sebelumnya, 16.40 juta orang.

Beliau berkata, bilangan penduduk bekerja dalam sektor perkhidmatan terus meningkat, terutama dalam aktiviti maklumat dan komunikasi; perkhidmatan makanan dan minuman; pengangkutan dan penyimpanan; sektor pembuatan; pembinaan dan perlombongan serta pengkuarian.

Bagaimanapun beliau berkata, sektor pertanian merekodkan penurunan dalam bilangan penduduk bekerja pada bulan yang sama.

Dalam pada itu, Mohd. Uzir berkata, mereka yang aktif mencari pekerjaan atau penganggur aktif, merangkumi 79.9 peratus daripada jumlah penganggur.

“Kategori ini turun seba­nyak 0.6 peratus kepada 454,500 orang (Oktober 2023: 457,200 orang).

“Mengikut tempoh pengangguran bagi penganggur aktif, 61.8 peratus adalah menganggur kurang daripada tiga bulan, sementara 6.3 peratus merupakan pengangguran jangka panjang melebihi setahun,” katanya.

Tambahnya, penganggur ti­dak aktif meningkat sebanyak 0.8 peratus kepada 114,700 orang (Oktober 2023: 113,800 orang).

Di samping itu, kadar pe­ngangguran bagi belia berumur 15 hingga 24 tahun berkurang sebanyak 0.1 mata peratus kepada 10.6 peratus, mencatatkan seramai 308,500 penganggur belia (Oktober 2023: 10.7 peratus; 313,300 orang)

“Kadar pengangguran bagi belia berumur 15 hingga 30 tahun pula turun sebanyak 0.1 mata peratus kepada 6.5 peratus, seramai 432,000 orang (Oktober 2023: 6.6 peratus; 439,600 orang).  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×