Inspirasi Niaga: Tiga sahabat baik dari jurutera ke tauke bundle

Inspirasi Niaga: Tiga sahabat baik dari jurutera ke tauke bundle

AL-AMIN Ahmad Zubir (kanan) bersama Mohd Zambree Ramli menunjukkan premis cawangan Dorayakee Bundle yang beroperasi di Kangar Jaya, Perlis. – UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MINAT mendalam tiga sahabat karib bagi menerokai perusahaan jualan pakaian terpakai atau ‘bundle’ berjaya membuahkan hasil apabila jenama Dorayakee Bundle kini semakin dikenali di seluruh negara dengan sudah mempunyai lima cawangan sehingga kini.

Bermula dengan sebuah kedai pada 2016, tiga sahabat baik berkenaan iaitu Al-Amin Ahmad Zubir, 35, Mohd Zambree Ramli, 35, dan Ahmad Faris Mohd Shaarani, 35, kini memiliki lima cawangan di beberapa negeri termasuk Perlis, Kedah dan Pe­rak bagi memenuhi permintaan tinggi peminat pakaian terpakai.

Al-Amin berkata, mereka bertiga sememangnya meminati barangan pakaian terpakai sejak menuntut di universiti lagi malah turut memasarkannya secara dalam talian pada peringkat awal.

“Selepas tamat pembelajaran, kami bertiga masing-ma­sing bekerja sementara dalam bidang profesional sebagai jurutera dan kemudian memutuskan untuk beralih dengan membuka kedai bundle pertama kami di Tanjung Rambutan, Perak pada 2016.

“Bermula dari situlah kami semakin berkembang dan sehingga kini mempunyai seba­nyak lima cawangan termasuklah di Nibong Tebal, Pulau Pinang, Alor Setar, Kedah, Station 18 Ipoh, Perak dan terbaru di Kangar Jaya, di sini,” katanya.

Menceritakan lebih lanjut, Al-Amin berkata, secara kasarnya, semua cawangan perusahaan Dorayakee Bubdle mampu me­raih hasil jualan sekitar kira-kira RM5,000 dalam sehari.

Namun begitu, dia berkata, sewaktu pembukaan cawangan terbaru di Kangar Jaya, di sini, pada 23 Disember lalu, pihaknya mampu menjana hasil jualan sekitar RM20,000 sehari.

“Sambutan yang diterima daripada masyarakat di negeri ini amat luar biasa malah mereka turut menunjukkan penerimaan baik bagi perusahaan bundle ini,” katanya.

PENGUNJUNG tidak melepaskan peluang meninjau pakaian dan seluar yang dipasarkan di Dorayakee Bundle, Kangar Jaya, Perlis.

Dalam pada itu, Al-Amin berkata, pihaknya memasarkan beberapa barangan kepada pe­langgan antaranya seperti pakaian lelaki, wanita dan kanak-kanak, kasut, aksesori serta pelbagai lagi.

Pemegang Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam itu berkata, harga barangan yang dipasarkan di Dorayakee Bundle juga amat berpatutan bermula dari serendah RM2 sehingga RM120.

“Kebanyakan barangan dipasarkan di sini adalah dari Jepun, Amerika Syarikat (AS) dan Korea malah kita mengambil bekalan daripada beberapa pembekal sekitar kawasan Utara Semenanjung,” katanya.

Sementara itu, Mohd Zambree pula berkata, industri pakaian terpakai pada masa kini semakin berkembang meluas malah kebanyakkan peminatnya terdiri daripada golongan muda.

Susulan potensi besar itu, Mohd Zambree berkata, mereka juga mempunyai perancangan bagi menambah lagi cawangan Dorayakee Bundle dalam masa terdekat dalam memenuhi permintaan pelanggan.

“Kami mempunyai perancangan untuk membuka cawangan di kawasan Bertam, Pulau Pinang susulan daripada permintaan semakin memberangsangkan ini,” katanya.

Buat masa ini, Mohd Zambree berkata, Dorayakee Bundle mempunyai seramai 27 orang pekerja melibatkan semua lima cawangan mereka.

Katanya, pusat pakaian terpakai itu juga beroperasi pada setiap hari bermula pukul 12 tengah hari sehingga 10 malam.

“Buat masa ini juga kami lebih memfokuskan kepada jualan secara fizikal dan hanya me­numpukan untuk tujuan promosi di media-media sosial,” katanya.

Mohd Zambree berkata, antara barangan yang mendapat permintaan tinggi daripada pelanggan mereka adalah terdiri daripada pakaian lelaki, wanita dan kasut.

Katanya, mereka juga sentiasa memastikan barangan yang dipasarkan di kedai itu ditambah baik bagi memenuhi permintaan pelanggan.

“Industri bundle ini semakin berkembang meluas dan mempunyai potensi besar sebab ramai anak muda cenderung ke arah ini khususnya golongan perempuan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×