PETALING JAYA: Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) meningkat marginal 0.6 peratus tahun ke tahun pada November 2023 dipengaruhi oleh pertumbuhan sederhana dalam sektor perlombongan dan elektrik, meskipun sektor pembuatan mengalami penurunan, lapor Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Menurut Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin, IPP meningkat selepas mencatatkan pertumbuhan 2.4 peratus pada bulan sebelumnya.
Beliau berkata, peningkatan disokong oleh pengembangan sederhana dalam sektor perlombongan sebanyak 1.9 peratus (Oktober 2023: 7.4 peratus) dan sektor elektrik sebanyak 4.2 peratus (Oktober 2023: 5.6 peratus).
Sementara itu, sektor pembuatan menurun kepada negatif 0.1 peratus selepas tumbuh positif bagi dua bulan berturut-turut (Oktober 2023: 0.9 peatus).
“Perbandingan bulan ke bulan menunjukkan IPP kembali kepada jajaran negatif (-0.9 peratus) berbanding positif 1.9 peratus yang direkodkan pada bulan sebelumnya,” katanya dalam laporan IPP Malaysia November 2023.
Mohd. Uzir berkata, penurunan pengeluaran sektor pembuatan disebabkan oleh pengeluaran output yang lebih rendah dalam industri berorientasikan eksport yang merosot 2.7 peratus (Oktober 2023: -1.6 peratus).
Penyusutan dipengaruhi terutamanya oleh kejatuhan dalam pembuatan komputer, produk elektronik dan optikal (-8.6 peratus); pembuatan kok dan produk petroleum bertapis (-1.8 peratus); dan pembuatan kayu dan produk kayu dan gabus (-1.9 peratus).
“Trend ini selari dengan eksport negara yang mengalami kemerosotan sejak Mac 2023 dan merekodkan negatif 5.9 peratus pada November. Perbandingan dengan bulan sebelumnya, industri berorientasikan eksport menyusut 2.2 peratus,” katanya.
Sebaliknya, Mohd. Uzir berkata, industri berorientasikan domestik kekal kukuh dengan mencatatkan peningkatan 5.8 peratus pada November 2023 (Oktober 2023: 6.7 peratus).
Beliau menambah, pertumbuhan pengeluaran sektor perlombongan menyederhana kepada 1.9 peratus pada November 2023 (Oktober 2023: 7.4 peratus) kesan daripada peningkatan sederhana dalam gas asli dan minyak mentah dan kondensat masing-masing sebanyak 1.7 peratus (Oktober 2023: 7.6 peratus) dan 2.1 peratus (Oktober 2023: 7.2 peratus).
Pertumbuhan pengeluaran elektrik pula katanya, menyederhana kepada 4.2 peratus pada November 2023 selepas mencatatkan peningkatan 5.6 peratus pada bulan lalu.
Merumuskan prestasi IPP bagi 11 bulan pertama 2023, Mohd. Uzir berkata: “IPP meningkat pada kadar yang lebih perlahan sebanyak 1.0 peratus berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya (Januari – November 2022: 7.1 peratus). Peningkatan ini disokong oleh indeks elektrik (2.3 peratus); indeks pembuatan (0.9 peratus); dan indeks perlombongan (0.6 peratus).” – UTUSAN










